CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Bercuti Dan Tenangkan Fikiran Ke Sutra Beach Resort & Spa Di Terengganu




Seandainya anda merancang percutian ke Terengganu,  dicadangkan anda menginap di Sutra Beach Resort & Spa yang terletak di Kampung Rhu Tapai, Merang. Hotel bertaraf tiga bintang ini menjanjikan sebuah percutian hebat. Di sini anda bakal mendapat ketenangan fikiran yang maksimum.

Satu keistimewaan hotel ini ialah, ia mempunyai kolam renang yang cukup luas. Kedudukannya yang menghadap laut pasti membuatkan anda tidak sabar-sabar untuk berendam di dalamnya. Sambil berenang bolehlah jamu mata dengan keindahan pantai dan laut yang membiru. Jadi,  pakaian renang mesti dibawa jika mahu bercuti ke sini.

Menawarkan 48 buah bilik standard, 68 buah bilik deluxe dan empat buah suites, penginapan di sini dilengkapi dengan kemudahan yang selalu ditawarkan oleh hotel-hotel dalam kelasnya. Kalau ingin menghabiskan masa dengan insan tersayang, lebih baik menginap di bilik deluxe atau suite yang mempunyai balkoni menghadap laut. Jika hanya bercuti bersama teman-teman sekerja, mungkin memadai mengambil bilik standard yang tidak kurang selesanya.

Paling penting, ia sesuai dengan bajet anda. Harga bilik di sini bermula daripada RM210 hingga RM760. Bagaimanapun, pada musim tengkujuh, harga bilik ditawarkan lebih rendah. Menurut Pengurus Besar resort ini, Malizan Hj. Zakaria, pada bulan November hingga Mac, bilik standard cuma berharga RM120++, manakala bilik deluxe RM150++ dan tawaran ini termasuk hidangan sarapan pagi untuk dua orang.

Bagaimana pula dengan aktiviti yang tersedia di resort ini? Pasti ada yang ingin memanjangkan langkah apabila singgah di negeri yang terkenal dengan Nasi Dagang ini. Sebenarnya banyak lokasi menarik yang boleh dilawati memandangkan resort ini hanya 35 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

Antara tempat yang boleh anda lawati di Kuala Terengganu ialah Taman Tamadun Islam, Muzium Terengganu, Masjid Tengku Tengah Zaharah (Masjid Terapung), Pantai Batu Buruk, Bukit Puteri dan tidak ketinggalan Pasar Payang untuk mendapatkan pelbagai cenderamata menarik.

Jika anda gemar selam skuba, lebih baik anda ikuti trip ke Pulau Bidong untuk melakukan aktiviti ini. Memang pulau ini tidak sepopular Pulau Redang, Kapas atau Perhentian, tetapi difahamkan, hidupan marin dan batu karang di perairan Pulau Bidong cukup cantik untuk diintai. Kalau tidak mahu menyelam, boleh juga menjenguk tinggalan sejarah di mana suatu ketika dahulu pulau ini pernah didiami oleh pelarian perang Vietnam dari tahun 1975 hingga 1991.



Manjakan diri

Satu lagi perkara yang mesti anda buat di sini ialah memanjakan diri di Ulek Sutra Spa. Menyediakan pelbagai rawatan badan, kunjungan ke spa ini pasti berbaloi. Cubalah urutan badan jika mahu tubuh terasa segar bertenaga. Terdapat lima jenis urutan yang disediakan iaitu Urutan Ulek, Urutan Tradisional, Urutan Bali, Urutan Madu dan Urutan Bertungku.

Bagi yang menggemari rawatan kecantikan, ada beberapa rawatan yang mungkin menarik minat anda. Antaranya Lulur Tradisional, Lulur Betik, Skrub Manga, Mandi Bunga, Mandi Susu, Mandi Rempah dan juga rawatan tangan dan kaki.

Soal harga, anda tidak perlu bimbang. Semua rawatan di sini pada harga berpatutan. Lagipun, apa salahnya belanja diri sendiri. Setelah bertungkus-lumus dengan rutin harian, anda memang berhak dibelai. Ulek Sutra Spa memberi layanan istimewa buat semua pengunjung!



Bagaimana ke sini?

Jika memandu dari Kuala Lumpur, anda hanya perlu menggunakan Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Kuala Terengganu (KT). Setelah sampai ke KT, anda perlu mengikuti papan tanda ke arah Merang atau Setiu. Perjalanan ke resort ini mengambil masa kira-kira setengah jam dari bandar tersebut dan ia terletak di sebelah kanan anda. Dinasihatkan perlahankan kenderaan supaya tidak terlepas simpang masuk ke sini. Ini kerana resort ini terlindung dari jalan utama.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan bas ekspress atau kapal terbang untuk ke Kuala Terengganu. Transnasional menyediakan enam trip perjalanan bermula di Stesen Putra, PWTC. Perjalanan dengan bas mengambil masa kira-kira tujuh jam. Dari stesen bas KT, anda boleh mengambil kereta sewa yang mengenakan tambang kira-kira RM40.

Bagi yang lebih suka menggunakan perkhidmatan kapal terbang, Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Firefly dan Air Asia menyediakan perjalanan ke KT setiap hari. Pihak resort boleh menjemput anda di lapangan terbang jika dimaklumkan lebih awal.

10 perkara yang anda perlu tahu:

1) Sutra Beach Resort & Spa kini di bawah pengurusan yang sama dengan Concorde Hotel Kuala Lumpur.

2) Resort ini menyediakan tiga lokasi selera untuk tetamu iaitu Merang Restaurant, Rhu Thapai Lounge dan Pool Bar. Jangan lupa menikmati beberapa hidangan tradisi masyarakat Terengganu yang turut tersedia di Merang Restaurant.

3) Resort ini telah dianugerahkan sebagai Best Hotel Services dalam Anugerah Pelancongan Malaysia pada tahun 2001, 2002, 2008 dan 2009.

4) Harga yang berpatutan dan semua mampu bercuti disini

5) Perkhidmatan bilik di sini sangat pantas. Tidak perlu menelefon beberapa kali.

6) Walaupun pantai di sini sesuai untuk mandi-manda, tetapi anda dinasihatkan supaya mematuhi tanda amaran yang disediakan oleh pihak resort.

7) Resort ini turut menyediakan pakej perkahwinan di tepian pantai bagi yang berminat.

8) Jika ingin menikmati hidangan keropok lekor yang lazat, anda hanya perlu keluar ke jalan utama. Terdapat banyak gerai yang menjadi tumpuan pelancong di sini.

9) Pantai Peranginan Penarik hanya terletak beberapa kilometer daripada resort ini. Jangan lepaskan peluang melawat tempat ini kerana pemandangannya cukup indah.

10) Paling penting, percutian di Sutra Beach Resort & Spa mencipta memori indah. Hanya pengalaman sendiri yang boleh menceritakan keseronokan dan kepuasan yang dikecapi. (Selamat bercuti!-Gua)

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Bercuti Dan Tenangkan Fikiran Ke Sutra Beach Resort & Spa Di Terengganu By Mohd Rohaizad. Published: 12.4.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...