CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Filem Ombak Rindu Novel Fauziah Ashari - Maya Karin Jadi Pelacur


Filem terbaru adaptasi novel yang popular bertajuk Ombak Rindu, hasil nukilan Fauziah Ashari. Jalan cerita mengenai seorang gadis yang menjadi anak yatim piatu, dilacurkan oleh bapa saudara sendiri serta berhadapan dengan pelbagai dugaan dalam kehidupan dan cinta. Itulah antara liku-liku yang terpaksa diharungi oleh insan bernama Izzah lakonan aktres jelita, Maya Karin.

“Saya pernah baca novel ini tujuh tahun yang lalu dan saya akui amat menyukai cerita Ombak Rindu ini. Bila ditawarkan untuk berlakon dalam naskhah ini, saya rasa gembira sangat,” ujar Maya mengakui agak berat untuk membawakan wataknya.

“Watak Izzah sangat jauh dengan diri saya sendiri. Dia merupakan anak yatim piatu dan dilacurkan oleh bapa saudara sendiri. Saya selalu memikirkan tentang watak ini dan cuba melalui hidup sebagai Izzah.

“Bagi saya, watak Izzah sangat istimewa. Watak Izzah sangat kuat dalam diri saya sehinggakan saya masih pegang perasaan dan prinsip Izzah sampai sekarang,” ujar Pemenang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 2008 ini.

Buat julung kalinya, Maya akan tampil berbeza berbanding dengan filem lakonannya sebelum ini. Memiliki darah kacukan, pelantun lagu ‘Erti Cinta’ ini akan di‘Melayu’kan sepenuhnya baik dari segi aspek pergerakan fizikal mahupun spiritualnya.

Malah, duta Innershine ini perlu menjadi Melayu sejati dan pandai mengaji Al-Quran. Justeru, bagi menguatkan lagi wataknya, Maya mengambil masa selama tiga minggu dalam mempelajari proses menjadi Izzah. Malah, Maya turut mengupah seorang Ustazah untuk mengajarnya ilmu agama.

“Ini kali pertama saya bertudung untuk sesebuah watak. Jadi, saya mengambil inisiatif dengan belajar agama dengan seorang ustazah selama dua hingga tiga jam sehari. Kelas kami berlangsung selama empat hari seminggu. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya, saya dapat mendalami dan memantapkan lagi ilmu tentang agama dan budaya.

“Selain inisiatif memanggil ustazah, saya juga mendalami watak Izzah dengan mendengar muzik khas yang terdiri daripada lagu-lagu tradisional Terengganu, Kelantan, dan juga lagu wayang kulit semata-mata untuk mendapatkan ‘feel’. Malah, nak masuk kereta pun saya dah pakai tudung,” ujarnya yang manis bertudung ketika majlis sidang media filem ‘Ombak Rindu’ di Bukit Kiara baru-baru ini.

Ingin lihat sejauh mana kemelayuan Maya dalam filem terbarunya, Ombak Rindu, jangan lepaskan peluang menonton filem ini di pawagam berhampiran anda tidak lama lagi. Filem ini turut diterajui oleh Aaron Aziz, Maya Karin, Lisa Surihani, Bront Palarae, Julia Ziegler, Azizah Mahzan, Zaidi Omar, Normah Damanhuri, Fauzi Nawawi, Nadia Nisa, Mislina Mustafa, Kamarul Hj Yusof dan Yap Leong Chai.-gua



Maya Karin Upah Guru Untuk Mendalami Ilmu Agama Jadi Ustazah

Bagi melunaskan wataknya sebagai seorang ustazah yang bernama Izzah dalam filem terbaru arahan Osman Ali yang berjudul Ombak Rindu, aktres jelita Maya Karin telah mengupah seorang guru agama untuk mengajarnya mendalami ilmu agama dengan lebih meluas lagi.


Maya Karin mengakui dia berbuat demikian kerana tidak mahu memandang enteng terhadap karektor tersebut.

"Watak Izzah ini adalah seorang perempuan kampung yang lemah lembut dan mengajar kanak-kanak mengaji. Izzah ini juga merupakan seorang wanita yang mempunyai budi pekerti mulia dan sering mengikut landasan agama.

" Jadi untuk menjayakan watak ini, saya telah mengambil seorang guru agama untuk membantu saya melengkapkan diri sebagai ustazah dan melengkapi lagi ilmu agama saya," katanya ketika ditemui pada majlis pra tonton trailer filem Ombak Rindu di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, baru-baru ini.

Menyukai jalan cerita filem yang diadaptasikan menerusi novel popular nukilan Fauziah Ashari ini, kata anak kacukan Jerman - Melayu ini, dia mengambil tempoh tiga minggu untuk mendalami ilmu agama sebelum memasuki lokasi penggambaran filem tersebut.

"Saya ambil masa tiga minggu untuk menyiapkan diri sebagai Izzah terutama dari segi mental, rohani dan ilmu agama. Dalam sehari dua atau tiga jam, saya akan belajar bersama guru tersebut. Kita semua bukan sempurna jadi saya rasa yang terbaik saya belajar daripadanya.

"Malah, untuk dapatkan feel yang lebih sebagai seorang wanita kampung, setiap hari saya akan dengar lagu-lagu yang bersifat tradisional," katanya sambil tersenyum manis.

Bercerita lanjut mengenai watak Izzah, kata pencinta alam sekitar ini, Izzah merupakan contoh seorang wanita yang redha dan pasrah atas apa yang berlaku pada dirinya.

Namun dia sesekali tidak pernah menyesali ketentuan yang telah ditetapkan oleh Ilahi.

Ombak Rindu terbitan Astro Shaw Sdn Bhd dan Tarantella Pictures Sdn Bhd ini telah pun selesai menjalani penggambarannya. Selain Maya Karin, filem ini turut dibintangi Aaron Aziz, Lisa Surihani, Julia Ziegler dan Bront Palarae.-murai

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Filem Ombak Rindu Novel Fauziah Ashari - Maya Karin Jadi Pelacur By Mohd Rohaizad. Published: 26.4.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...