CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Filem Seram Karak 2011 - Adaptasi Kisah Seram Sebenar KRU


Berdasarkan sumber maklumat daripada murai, filem terbaru KARAK berkonsepkan seram bakal ditayangkan pada tahun ini oleh KRU studio. Jangan lupa saksikan filem adaptasi dari kisah seram benar daripada KRU ini.

Karak Kisah Seram KRU
 Gambar Barisan Pelakon Filem Karak

Pertama kali menukar bidang kepada penulisan skrip, Ketua Pegawai Eksekutif KRU, Norman Abdul Halim akui kisah yang ditulisnya dalam filem seram pertama terbitan syarikatnya, Karak adalah hasil dari pengalaman sebenar yang dia sendiri lalui dengan adiknya, Yusry Abdul Halim.

Bukan setakat itu saja, Norman juga turut menghasilkan skrip filem yang bergenre horror tersebut menerusi research daripada cerita-cerita serta pengalaman orang lain yang didengarinya.

"Saya percaya ramai yang mempunyai pengalaman seram ketika melalui highway Karak kerana saya dan Yusry sendiri juga pernah mengalami kejadian seram ketika melalui lebuh raya tersebut.

" Kejadian itu berlaku pada waktu malam dan kami benar-benar terkejut bila satu mahluk tiba-tiba muncul dan hampir menerkam cermin kereta kami tetapi kami sempat mengelak. Kami juga hampir-hampir terlibat dalam kemalangan pada malam kejadian itu.

"Namun, syukurlah kami bernasib baik kami juga tidak diapa-apakan. Jadi apa yang boleh saya katakan disini , kisah yang saya tulis ini hasil dari pengalaman saya sendiri serta reseacrh yang saya buat," katanya dalam sidang media filem Karak yang telah berlangsung di Hard Rock Café semalam.

Apa yang pasti, filem arahan Yusry ini telah menampilkan muka-muka baru dalam industri lakonan dan perfileman. Antaranya ialah seperti Shahir AF8, Sheera, Kilafairy dan Along Ezendy.

Yusry memberitahu pemilihan pelakon rata-ratanya yang terdiri daripada barisan pelakon baru itu adalah mengikut keperluan jalan cerita yang memerlukan elemen keaslian serta kementahan bagi menimbulkan perasaan seolah-oleh kejadian yang berlaku dalam filem tersebut benar-benar berlaku.

"Kami sengaja menampilkan muka-muka baru dalam filem ini supaya ianya diberi nafas baru. Biarpun mereka ini baru tetapi mereka juga melalui proses casting sebelum diambil berlakon.

"Mereka ini tidak kurang hebatnya. Saya ada melakukan workshop dan latihan juga kepada mereka supaya mereka tidak terperanjat bila berada dalam set penggambaran yang sebenar," jelas Yusry.

Tambah Yusry lagi, tiada bezanya mengarahkan filem seram ini dengan filem Cicak Man atau Merong Mahawangsa kerana baginya caranya masih sama. Cuma terdapat sedikit cabaran dari segi waktu pengambarannnya.

"Hampir 80 peratus pengambaran cerita ini dilakukan pada waktu malam. Jadi saya rasa itu yang menyukarkan dan memenatkan kami kerana tenaga pada waktu malam dan siang amat berbeza.

"Oleh itu kami terpaksa jadi burung hantu yang mana malam berjaga dan siang pula waktu tidur kami. Namun nasib kami baik, selain mengadakan penggambaran di luar seperti di Hulu Langat dan Branang, kami juga turut menggunakan studio kami untuk sebahagian lagi penggambaran," katanya.

Filem Karak yang memulakan penggambaran sejak Julai tahun lalu ini bakal mengisahkan tentang 4 pelajar kolej yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.

Mereka mengalami kesesakan yang laur biasa di lebuhraya Karak dan bernekad mencari jalan alternatif iaitu melaui jalan lama, tanpa menyedari keputusan mereka itu bakal meruabh kehidupan mereka untuk selama-lamanya.

Filem keempat arahan Yusry ini bakal merasuk di seluruh pawagam mulai 26 Mei 2011.

Sinopsis Review Filem Karak


Sekali Imbas Filem Karak:

Empat sekawan yang mahu segera pulang ke kolej mengambil tindakan melalui jalan raya lama Karak. Setelah melalui kawasan laluan berpuaka itu, pelbagai tragedi menimpa mereka yang akhirnya meragut nyawa.

Ulasan Penuh Fime Karak:

Filem sulung seram arahan Yusry Abdul Halim, Karak,tidak dinafikan antara filem yang dinantikan peminat. Alasannya hanya satu, kerana selepas berjaya memberikan sebuah hasil yang memberansangkan menerusi filem epiknya, Hikayat Merong Mahawangsa, pastinya sentuhan hardcore horrer,Yusry ditunggu khalayak kerana mahu melihat kelaianan yang disuntiknya kali ini.

Memandangkan pengarah berusia 38tahun ini sememangnya dikenali dengan hasil kerja yang kreatif. Lambakan filem seram di pawagam tempatan tidak henti-henti sepanjang tahun ini, membuatkan saya terfikir diminda apakah istimewanya Karak berbanding filem seram yang lain?

Kata Yusry, jika mahukan seram yang 'real' anda akan temuinya dalam filem Karak. Ini kerana menerusi Karak, anda yang selama ini bosan disogok dengan imej bayangan wanita berambut panjang atau sekadar berterbangan, sebagai hantu, diberi peluang menyaksikan imej atau pbjek hantu sebenar.

10 imej entiti makhluk halus dengan gabungan special effects make-up serta CGI dengan mengambil penterjemahan bahawa jin atau syaitan boleh menyerupai pelbagai rupa disajikan sebagai wadah utama seram Karak berbanding filem seram sedia ada.

Karak bermula dengan menyakinkan kerana Yusry tidak mengambil masa yang lama, tidak sampai 30 minit pertama tayangan, pengarah kreatif itu telah pun mempamerkan kemunculan hantu secara fizikal.

Nyawa seorang suami yang sedang mahu mencari bantuan akibat kereta rosak di tepi jalan raya Karak, serta seorang wanita bersama bayinya diragut hantu Karak sebagai pembuka cerita.

Kemudiannya, barulah kisah empat orang pelajar iaitu Shahir AF8 (Nik), Shera Aiyob (Zura), Along Ezeyndy (Jack), KilaFairy (Ida) di tampilkan.

Akibat mahu pulang ke kolej mereka dengan cepat dan tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang lama di lebuh raya, mereka memilih meneruskan perjalanan menggunakan laluan jalan raya lama Karak.

Sikap tidak sabar anak-anak muda itu, akhirnya membuatkan mereka terperangkap dengan maut yang seolah-olah telah menanti mereka.

Kejadian pelik dan seram mula berlaku, apabila Jack yang mahu membuang air kecil, telah menyebabkan mereka semua terpaksa berhenti di sebuah kawasan rehat yang usang.

Seperti yang dijangka, Jack diganggu hantu yang meyerupai seorang wanita yang mencari anaknya.

Cuma yang tidak bestnya, kita sudah dapat mengagak, Jack akan diganggu hantu selepas mereka memilih untuk berhenti seketika di kawasan yang gelap itu.

Malah janji Yusry untuk membuatkan perasaan seram penonton sepanjang menonton filem itu memang benar apabila satu per satu hantu ditampilkan di sepanjang jalan raya Karak tersebut.

Perjalanan mereka kemudiannya diganggu oleh kehadiran kereta Voswagen kuning yang tidak mempunyai pemandu sebaliknya bergerak sendiri mengejar keempat-empat pelajar tersebut.

Kelibat wanita yang mencari anak tadi turut kelihatan dalam voswagen tersebut sekali gus mengejutkan Jack yang sedang memandu.

Lebih parah lagi apabila secara tiba-tiba di hadapan kenderaan mereka muncul satu lagi kelibat hantu. Insiden itu telah menyebabkan kenderaan mereka terbabas dan terhumban ke dalam hutan.

Jujur saya katakan, kata -kata Yusry, segala babak di sepanjang jalan Karak ini digarap dengan sempurna mengikut jalan cerita benar yang acapkali dialami oleh pengguna jalan tersebut, berjaya dihasilkan dan menyentuh perasaan takut penonton.

Malah kesan bunyi, muzik dan penataan cahaya berjaya menimbulkan suasana seram sepanjang filem itu.

Kembara penonton dilaluan karak hanya terhenti disitu. Yusry mula membawa penonton untuk merasai ketakutan di kawasan hutan yang hanya dihuni oleh seorang lelaki berketurunan orang asli yang bernama Tok Malam.

Akibat daripada kemalangan tersebut, keempat-empat pelajar itu terpaksa berteduh di rumah tok malam setelah kenderaan mereka musnah.

Seperti boleh dibaca, di rumah Tok Malamlah pelbagai lagi kejadian pelik dan seram dialami mereka seperti gangguan hantu dan disampuk.

Maaf jika saya katakan babak di rumah Tok Malam agak kurang memberi impak dan kesan pada saya. Puncanya kerana babak seumpama itu sudah kerap kali dipamerkan dalam beberapa filem seram sebelum ini.
Malah durasi penceritaan lebih lama di rumah Tok Malam berbanding perjalanan mereka di laluan Karak sedikit sebanyak membuatkan momentum khalayak menurun.

Saya tidak mahu mempertikaikan beberapa lagi babak yang diselitkan kerana mungkin semua itu sebagai penyeri kepada filem keempat arahan Yusry ini.

Tetapi saya suka dengan pengakhiran filem tersebut, kerana Yusry sengaja menwujudkan tanda tanya kepada penonton sama ada Zura masih hidup atau pun tidak kerana hanya tiga mayat sahaja yang ditemui berikutan kemalangan di jalan raya Karak tersebut.

Dalam pada itu, saya tetap mahu memuji Yusry kerana berjaya membimbing barisan pelakon yang terdiri daripada bakat muda.

Dua teraju utamanya Shera Aiyob dan Along Ezeyndy berjaya mewarnai Karak. Meskipun baru, kedua-dua mereka berjaya membawakan watak dengan sempurna.

Terutamanya Shera yang perlu berdepan dengan hantu yang mahu menakluki jasadnya. Di sini jelas kelihatan dia perlu bermain dengan emosi ketakutan dan keberanian untuk menentang hantu tersebut.

Tetapi bagi pendatang baru, Kilafairy, aduh lakonannya sebagai gadis gedik yang suka bersolek untuk kelihatan cantik, sedikit menjengkelkan saya.

Apa pun, bagi saya sememangnya Karak menampilkan sisi ketakutan yang berbeza kepada khalayak namun ianya akan lebih indah sekiranya filem kesembilan KRU Studios itu hanya memaparkan kejadian satu malam ngeri di sepanjang laluan puaka itu.

Babak Filem Seram Karak
 Gambar Antara Babak Seram Filem Karak

Sinopsis Filem Karak:

Filem Karak ini mengisahkan sebuah cerita lagenda dan kisah seram di sepanjang lebuhraya Karak dan merupakan filem seram cubaan pertama terbitan KRU Studio yang diarah oleh Yusry Abdul Halim.

Empat orang pelajar kolej yang sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan setelah menghabiskan masa malam mereka di Kuala Lumpur. Semasa perjalanan pulang, mereka terperangkap di dalam kesesakan jalaraya di sepanjang lebuhraya Karak.

Mereka perlu pulang segera kerana perlu menghadiri kuliah pada keesokan paginya, lantas memilih untuk menggunakan sebatang jalan lama tanpa mengetahui jalan yang mereka pilih akan merubah hidup mereka dengan pelbagai kisah yang menyeramkan.


Info Filem Karak:


PENGARAH: Yusry Abdul Halim
PELAKON: Shahir AF8, Shera Aiyob, Kilafairy, Along Ezendy dan Sidek Hussain
GENRE: Seram
Klasifikasi: U
Mula Tayangan: 26 MEI 2011


Filem Seram Karak 2011 - Adaptasi Kisah Seram Sebenar KRU

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Filem Seram Karak 2011 - Adaptasi Kisah Seram Sebenar KRU By Mohd Rohaizad. Published: 6.4.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...