CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Isu Kerajaan Negeri Kedah Naikkan Cukai Tanah UUM RM1.8 Juta Setahun


 Usaha kerajaan negeri Kedah menaikkan kadar cukai tanah terhadap IPTA UUM sehingga RM1.8 juta setahun yang sebelum ini hanya RM150,000 setahun nyata tidak wajar. Hal ini akan menyebabkan IPTA terpaksa mencari sumber kewangan lain bagi menampung perbelanjaan tersebut. Lebih memburukkan jika ia melibatkan dan menindas kebajikan pelajar dari yuran pengajian dan perbelanjaan dalam UUM. Diharap pihak kerajaan negeri mempertimbangkan hal ini agar keutamaan untuk membina insan terpelajar bagi menyumbang kemajuan negeri dan negara diutamakan.
Tindakan kerajaan negeri Kedah menaikkan cukai tanah Universiti Utara Malaysia (UUM) sehingga 10 kali ganda selain gagal menyediakan bekalan air yang mencukupi di universiti itu, dilihat sebagai tidak membantu usaha kerajaan pusat untuk melahirkan modal insan negara.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebagai kerajaan negeri yang memerintah, mereka seharusnya berbangga dengan universiti itu dan membantu kerajaan pusat dalam menyediakan keperluan-keperluan tertentu untuk universiti berkenaan.

"Selama ini kalau kerajaan negeri itu BN, ia membantu dengan tidak mengenakan cukai yang tinggi.

Tetapi setelah mereka mengambil alih kerajaan negeri, mereka mengenakan cukai tanah kepada institusi pendidikan sehingga RM1.8 juta setahun cukai tanah berbanding sebelum ini RM150,000 setahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Khas Pasca Siswazah untuk Anggota Parlimen yang dikendalikan UUM di sini hari ini.

Lebih membebankan apabila pihak pengurusan UUM terpaksa membayar antara RM80,000 sehingga RM90,000 sebulan untuk menampung kos lori bagi mengangkut air dari luar akibat kekurangan bekalan air sejak setahun lalu, katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dilihat cuba mendapatkan keuntungan daripada sebuah institusi pengajian tinggi, sedangkan mereka seharusnya memahami UUM adalah sebuah pusat akademik yang berfungsi untuk melahirkan modal insan.

Dikemaskini: Cukai Tanah UUM 10 Kali Ganda

“Kita harap kerajaan negeri Kedah tidak mengenakan cukai terlampau tinggi kerana wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan dan penerbitan.

“Kerajaan negeri sebaliknya cuba mendapatkan keuntungan daripada sebuah institusi pengajian tinggi sedangkan mereka sepatutnya faham bahawa UUM adalah sebuah pusat akademik yang berfungsi untuk melahirkan modal insan.

“Di Selangor, kerajaan negeri tolak Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan di Kedah isu bekalan air dan cukai tanah pula,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program pascasiswazah untuk ahli Parlimen, di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Mohamed Khaled menambah, kerajaan negeri Kedah hanya tahu mempersoalkan tindakan Kerajaan Pusat menaikkan harga gula dalam ceramah politiknya sedangkan mereka sendiri menaikkan cukai tanah pada kadar cukup tinggi.

Sementara itu, Dr. Mohamed Mustafa berkata, beliau telah menemui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak awal tahun ini untuk berbincang mengenai isu air dan merayu agar kadar cukai tanah dikurangkan.

Terkini: MB Kedah Nafi Naikkan Cukai Tanah UUM 10 Kali Ganda

Kerajaan Pas Kedah menafikan cukai tanah kawasan Universiti Utara Malaysia (UUM) dinaikkan sehingga mencecah lebih RM1 juta setahun.


Sebaliknya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menjelaskan, jumlah tersebut perlu dibayar oleh UUM mengikut perjanjian pada 2006 kerana tempoh rebat cukai tanah bagi tempoh 2006 hingga 2008 telah tamat.

"UUM diberi rebat cukai tanah selepas pengurusan universiti itu mengemukakan rayuan bagi mengurangkan cukai tanah dan mendapat persetujuan kerajaan negeri ketika itu, dengan memberi rebat bagi tempoh dua tahun.

"Rebat tamat tempoh pada 2008, sebab itu cukai tanah yang dibayar sebelum ini RM100,000 berbanding terkini lebih RM1 juta," katanya selepas perhimpunan bulanan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Azizan mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir baru-baru ini yang mendakwa kerajaan negeri menaikkan cukai tanah di UUM sehingga 10 kali ganda, berbanding ketika negeri ini ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mukhriz mendakwa, tindakan itu tidak wajar dan membebankan pengurusan UUM kerana sebelum ini cukai tanah yang dikenakan sekitar RM100,000 setahun.

Azizan berkata, setelah rebat berakhir, bermula tahun 2009, bayaran cukai tanah yang perlu dijelaskan ialah lebih RM1 juta.

"Saya harap penjelasan ini membuktikan kerajaan negeri bukan naikkan cukai tanah, cukai asal lebih RM1 juta setelah diberi rebat, UUM bayar RM100,000 sahaja. Apabila perjanjian berakhir, kenalah bayar penuh.

"Ini amalan biasa dalam urus tadbir, bila ada pihak minta bantuan, kita beri atas dasar timbang rasa," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan Mukhriz kerana kemungkinan Ahli Parlimen Jerlun itu tidak mendapat maklumat tepat.

Mengenai masalah bekalan air yang sekian lama dialami warga UUM, Azizan berkata, ia perlu diselesaikan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi.

"Saya pernah bangkitkan isu ini supaya pengurusan UUM kemukakan cadangan kepada kementerian untuk naik taraf infrastruktur bekalan air, tetapi saya tak nampak pun hasilnya," katanya.


Permohonan UUM Untuk Sambung Rebat Cukai Tanah Ditolak Pejabat Tanah Galian
 
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri menolak permohonan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyambung semula rebat cukai tanah universiti itu, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
 
Justeru, kata beliau pihak universiti perlu menjelaskan bayaran pada kadar lama sebanyak RM1.7 juta atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan.

"Rayuan buat dah, tapi PTG tak setuju jadi kena bayar secepat mungkin (RM1.7 juta) atau boleh kena penalti sehingga RM90,000 lebih atau tanah kampus boleh dirampas," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil di Baling, petang semalam.

Katanya, kadar cukai sebanyak RM0.20 bagi setiap kaki persegi tanah UUM jauh lebih rendah berbanding cukai yang dikenakan terhadap universiti lain, misalnya Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang yang dikenakan sebanyak RM2.50 bagi setiap kaki persegi.

"Universiti Teknologi Mara pun bayar RM0.50 bagi satu kaki persegi... jadi UUM mampu nak bayar banyak tu dan kalau mereka tak mahu bayar, kerajaan negeri akan rugi kira-kira RM1.6 juta setahun," katanya.
Pertengahan April lalu, UUM menerusi Bendaharinya telah menghantar surat kepada PTG untuk mendapatkan rebat bagi cukai tanah untuk tempoh lima tahun setelah tempoh rebat terdahulu tamat pada 2008.

Azizan kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah meminta Pengarah PTG Negeri untuk memberi pandangan sama ada rebat yang diberikan kepada UUM sebelum ini selama dua tahun perlu disambung atau tidak.

Sepanjang tempoh rebat diberikan, UUM hanya membayar RM150,000 bagi cukai tanah universiti itu.

Sementara itu, mengenai hasrat UUM untuk menjadikan kawasannya zon bebas cukai, Azizan berkata sekiranya ia terlaksana, kadar cukai tanah yang akan dikenakan sudah pasti akan berbeza kerana tanah komersial cukainya berbeza.(Bernama)

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Isu Kerajaan Negeri Kedah Naikkan Cukai Tanah UUM RM1.8 Juta Setahun By Mohd Rohaizad. Published: 18.4.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...