CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Isu Pergaduhan Kaum Di SMK Taman Sri Muda - 23 Pelajar Disoal Siasat


Isu pergaduhan kaum sering berlaku di sekolah tetapi jarang mendapat perhatian kerana dianggap sebagai kes terpencil. Walaubagaimanapun, jika dibiarkan berterusan ia akan membiak menjadi satu sindrom yang boleh menyebabkan mereka membesar dengan menebalnya sikap perkauman seperti kejadian terbaru di SMK Taman Sri Muda, Shah Alam.

Pengerusi persatuan ibu bapa dan guru SMK Taman Sri Muda, Shah Alam, Anita Atan hari ini menafikan unsur perkauman menjadi punca kepada satu pergaduhan yang berlaku di sekolah berkenaan .

Sebaliknya, kata beliau, ia hanyalah satu dakwaan yang dibuat oleh bapa salah seorang pelajar terbabit.

Ketika ditanya, Anita juga berkata, pergaduhan itu juga bukan dicetuskan oleh perbuatan kata-mengata antara pelajar berkenaan.

"Bukan sebab itu, tapi punca lain... Kita tunggu hingga laporan polis selesai. Saya tak boleh nak komen apa-apa, tapi kita sudah dengar banyak sangat cerita.

"Itu dakwaan bapa tersebut, itu hak dia untuk bercakap. Dia boleh kata (pergaduhan tersebut) ada unsur seperti yang awak katakan.

"Orang yang bercakap itulah yang kata. Kalau tidak, tak ada apa-apa (dakwaan timbul). Dia dapat dari mana? Dialah yang kata (unsur perkauman) sedangkan siasatan belum habis lagi," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang bapa pelajar terbabit, Stephen Perumal Velu dalam satu laporan laman Free Malaysia Today yang menyebut, pergaduhan itu berpunca daripada tindakan sekumpulan pelajar yang memanggil pelajar India di sekolah itu dengan kata-kata yang didakwa menghina.

Menurut Anita lagi, bapa kepada pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan beliau menyerahkan isu itu untuk siasatan pihak berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anita juga berkata polis hari ini turut mengambil keterangan daripada 13 orang pelajar yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkenaan.

Semalam, polis mengambil keterangan daripada 23 pelajar lain.

Dalam pada itu, Anita turut mengesahkan bahawa salah seorang daripada pelajar terbabit mengalami kecederaan akibat pergaduhan tersebut. 

Pelajar terbabit telahpun mendapatkan rawatan dan pihak sekolah telah mendapatkan laporan perubatannya, tambahnya.

Polis Serah Kes Gaduh Pelajar Melayu Dan India Pada pentadbiran SMK Taman Sri Muda

Polis menyerahkan kepada Jabatan Pelajaran Selangor dan pihak pentadbiran sekolah di Seksyen 25 di Shah Alam untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung insiden pergaduhan dua kumpulan pelajar sekolah terbabit semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata kes itu diserahkan kepada pihak pentadbiran sekolah menengah berkenaan kerana ia berlaku di dalam kawasan sekolah.

Ketika dihubungi hari ini beliau berkata dalam kejadian semalam, pelajar tingkatan empat dan lima yang terbabit dalam pergaduhan itu dikumpul dalam bilik kaunseling sementara menunggu ketibaan polis, sejurus selepas guru sekolah berkenaan berjaya meleraikan pergaduhan.

Semalam, polis mengambil keterangan daripada 23 pelajar lelaki berkenaan di Balai Polis Seksyen 15 bagi membantu siasatan, dan mereka kemudiannya dibenarkan pulang.

Sementara itu menurut satu sumber di Jabatan Pelajaran Selangor, kes gaduh itu sudah dianggap selesai, dan perkara itu diserahkan kepada pihak sekolah terbabit untuk ditangani.

"Pengurusan sekolah memaklumkan bahawa ibu bapa pelajar terbabit sudah dipanggil untuk berbincang mengenainya hari ini," katanya.

Ibu bapa Minta Penjelasan Daripada Pengetua Sekolah Berkenaan Isu Pergaduhan

Ibu bapa kepada sekumpulan pelajar yang terlibat dalam satu pergaduhan di SMK Taman Sri Muda pada Rabu lalu akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis dan juga pengurusan sekolah petang ini.

Seorang bapa kepada pelajar berkenaan, Stephen Perumal Velu berkata perjumpaan pada jam 2.30 petang itu juga akan melibatkan Jabatan Pendidikan Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah dan wakil daripada persatuan ibu bapa dan guru sekolah berkenaan.

Stephen berkata, beliau akan meminta pengetua sekolah berkenaan untuk menjelaskan mengenai tindakan pentadbiran sekolah memanggil pihak polis ketika pergaduhan itu berlaku.

"Memang kita tak puas hati dengan tindakan pengetua yang enggan beri penjelasan. Boleh bawa pegawai polis, boleh bawa pegawai pelajaran tapi jangan tahan pelajar yang tak terlibat. 

"Kalau (pelajar dibawa ke balai polis), jadi gangguan kepada anak-anak kita. Budak ini takut nak pergi ke sekolah, ini terjadi kepada anak saya sendiri, katanya.

Tambahnya, para ibu bapa yang terlibat juga tidak berniat untuk membesar-besarkan isu berkenaan.
"Kita bukan hendak besarkan masalah dan kita bukan bawa isu perkauman.

Kita hendak jaga semua anak bangsa, pergaduhan ini berlaku antara saudara mara kita juga sebab kita dalam konsep 1Malaysia ini kita bersaudara mara," katanya lagi .

Terdahulu, sekumpulan lebih 20 orang ibu bapa pelajar terbabit mengadakan perhimpunan di hadapan sekolah berkenaan yang terletak di Seksyen 25, Shah Alam.

Perhimpunan yang bermula pada kira-kira jam 12.45 tengahari itu bagaimanapu dileraikan oleh ketua MIC bahagian Kota Raja, RS Maniam tidak lama selepas itu.

Stephen berkata, Maniam telah yang memberi jaminan kepada ibu bapa berkenaan bagi mengadakan pertemuan dengan pengetua sekolah tersebut hari ini.

Sambungan: Isu pelajar gaduh SMK Taman Sri Muda di Shah Alam tukar jadi ‘krisis PIBG’

Isu pergaduhan pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam kini bertukar menjadi pertikaian antara ibu bapa dan kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).


Hari ini, sekumpulan ibu bapa pelajar sekolah berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Taman Sri Muda di sini berikutan kenyataan Yang Dipertua PIBG sekolah tersebut pertengahan minggu ini.

Wakil ibu bapa, V. Stephen Perumal berkata, laporan polis pihaknya merujuk kepada kenyataan Yang Dipertua PIBG, Anita Atan Khamis lalu.

Isu terbaru ini bersangkut paut dengan insiden pergaduhan pada 13, 19 dan 20 April lalu di sekolah tersebut yang membawa kepada penahanan lebih 20 pelajar.

“Pada 24 Mei, Anita telah membuat laporan polis. Dalam kenyataan akhbar bertarikh 25 Mei, beliau memberitahu pihak PIBG rasa terhina dan maruah tercemar atas fitnah yang dilemparkan oleh ‘individu tertentu’.

“Kenyataan akhbar itu juga ada menyentuh perkara yang dibincangkan kami bersama pihak PIBG. PIBG sepatutnya berbincang dahulu dengan kami sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan, bukan dengan terus membuat laporan polis,” katanya pada sidang media hari ini.

Perumal memberitahu, PIBG telah menjemput ibu bapa dan penjaga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda untuk mengadakan sesi dialog bagi membincangkan masalah mereka hadapi, 21 Mei lalu.

Bagaimanapun, mereka tidak menyangka PIBG akan membuat laporan polis terhadap apa yang dibincangkan dalam dialog tersebut.

“Sabtu lalu, ketika sesi dialog itu, kami bercakap mengenai hal anak-anak kami yang belajar di sana. Mereka pada masa itu tidak berkata apa-apa, cuma mereka memberitahu tidak mahu memperbesarkan perkara ini (isu pergaduhan).

“Tiba-tiba kami lihat dalam akhbar Sinar Harian, pihak PIBG membuat laporan polis,” katanya.

Beliau turut berkata, ibu bapa yang hadir sesi dialog tersebut telah cuba menghubungi dan menghantar SMS kepada Anita berhubung kenyataannya tetapi tiada respons.

Anita berkata, risalah tersebut telah diedarkan kepada masyarakat di sekitar kawasan berkenaan.

Anita juga berkata, laporan polis itu dibuat untuk menjernihkan keadaan sekali gus membersihkan maruah mereka.

Perumah menambah, PIBG sepatutnya mewakili ibu bapa untuk menyelesaikan perkara berkaitan sekolah dan bukan memihak pihak sekolah.

Beliau berkata, pihaknya terpaksa membuat laporan polis hari ini bagi membersihkan maruah dan imej mereka.

“Kami komen secara ikhlas dan terbuka semasa sesi dialog bersama PIBG Sabtu lalu. Saya sebagai salah seorang ibu bapa yang menghadiri sidang dialog bersama pihak PIBG sekolah berasa kecewa dengan sikap Anita yang memutar belit fakta dalam kenyataannya,” katanya.

Beliau juga menggesa pihak PIBG menarik balik laporan polis itu dalam masa seminggu.

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Isu Pergaduhan Kaum Di SMK Taman Sri Muda - 23 Pelajar Disoal Siasat By Mohd Rohaizad. Published: 21.4.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...