CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Isu Poco-Poco Majlis Fatwa Kebangsaan Tidak Halang Negeri Lain Haramkan


Isu berkenaan poco-poco hangat dibincangkan apabila mufti Perak mengeluarkan fatwa haramkan tarian atau senaman poco-poco kerana mempunyai keraguan dan sejarah yang bertentangan dengan Islam. Walaubagaimanapun, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak menghalang negeri lain turut mengharamkan tarian tersebut seperti yang dibuat oleh negeri Perak.
Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan untuk tidak menghalang tarian poco-poco di kalangan umat Islam selagi ia tidak melanggar garis panduan yang ditetapkan, kata pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Sehubungan itu masyarakat Islam dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan badan itu sejak 2007 yang antara lain tidak melakukan ritual ibadat bukan Islam, menjaga pergaulan lelaki dan perempuan serta pakaian yang sesuai.

"Sekiranya tidak melanggar (peraturan ) maka tiada halangan. Malah kalau ia mendatangkan kebaikan kepada kesihatan, maka kita rasa tiada halangan kepada perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan di Sepang hari ini.

Bagaimanapun katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan tetap menghormati keputusan Majlis Fatwa Perak untuk mengharamkan tarian itu seperti diumumkan muftinya Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini kerana mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh.

Sementara itu, Harussani yang turut menghadiri muzakarah itu ketika dihubungi berkata fatwa pengharaman itu dibuat selepas terdapat pertanyaan daripada persatuan Islam di Perak sama ada tarian itu patut diharamkan atau
sebaliknya.

"Selepas itu kajian dibuat dan didapati ada unsur itu. Negeri-negeri lain tiada permintaan untuk mengkaji tarian itu sebab itu tiada fatwa mengenainya dibuat," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukor ketika diminta mengulas mengenai antara perkara utama yang dibincangkan pada muzakarah kali ini, beliau berkata ia termasuklah penggunaan vaksin 'mencevax' iaitu sejenis vaksin yang digunakan jemaah haji dan umrah sejak sekian lama.

"Jadi kita telah mengkaji dan mendapatkan pandangan pakar di mana selepas tahun 1997 penghasilannya lebih baik selain kos yang lebih munasabah. Kita setuju teruskan (penggunaannya) jika tiada gantian yang lebih baik daripada itu," katanya.
Menurutnya terdapat juga permohonan daripada syarikat lain untuk membekalkan vaksin untuk jemaah haji dan umrah, yang sudah berada di pasaran selama dua tahun.

"Pada prinsipnya kedua-dua vaksin itu harus dan boleh digunakan. Tetapi kita mengutamakan vaksin pertama kerana ia sudah lama digunakan," kata beliau.

Muzakarah tiga hari yang bermula 20 April turut membincangkan mengenai wang pampasan insurans konvensional yang tidak dituntut serta masalah wang khairat kematian. -Bernama -Malaysiakini


Dikemaskini: Poco-Poco Dibolehkan Tetapi Bersyarat

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang di sini, sejak Rabu hingga semalam memutuskan tidak menghalang orang ramai terbabit dengan tarian poco-poco, selagi tidak melanggar garis panduan ditetapkan.


Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa itu sudah mengeluarkan Garis Panduan Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu pada 2007 yang boleh dijadikan rujukan berhubung perkara itu.

“Di antara garis panduan ditetapkan adalah menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita serta mengawal pergaulan, menjaga etika berpakaian, tidak berbentuk pemujaan dan tidak melakukan ritual atau ibadat orang bukan Islam.
“Jadi, jika berdasarkan garis panduan itu, kita tidak ada halangan... tambahan lagi kita dimaklumkan tarian poco-poco sudah dibuat dengan pelbagai cara dan ada juga pandangan menyatakan ia baik untuk kesihatan.

“Namun, kita menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan melihat kepada garis panduan itu, sekiranya tidak melanggar (garis panduan) dan mendatangkan kesihatan, kita tiada halangan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan muzakarah terbabit di sini, semalam.

Januari lalu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak memutuskan tarian poco-poco diharamkan di negeri itu kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh, malah berdasarkan kajian ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian.


Bagaimanapun, Abdul Shukor berkata, pihaknya masih melakukan beberapa kajian terhadap tarian berkenaan sebelum keputusan lanjut berhubung perkara itu diambil. Beliau berkata, keputusan pengharaman tarian itu di Perak masih kekal memandangkan Majlis Agama Islam Negeri mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa berhubung sesuatu perkara.

Sementara itu, katanya muzakarah selama tiga hari itu turut membincangkan mengenai penggunaan vaksin untuk jemaah haji dan umrah dan mereka bersetuju penggunaan vaksin Meningitis Mencevax yang sudah digunakan sejak sekian lama di negara ini adalah harus dan dibenarkan.

“Kita sudah meneliti semua pandangan yang diterima dan sudah mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Kesihatan dan pakar berkenaan. Berikutan itu kita bersetuju ia harus digunakan masyarakat Islam... tambahan pula ia sudah lama digunakan di negara ini,” katanya.-hmetro

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Isu Poco-Poco Majlis Fatwa Kebangsaan Tidak Halang Negeri Lain Haramkan By Mohd Rohaizad. Published: 22.4.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...