CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Isu Sumpah Laknat Politik Mempermainkan Islam - Eskay Abdullah


JAWI tidak halang Eskay hendak sumpah laknat
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( JAWI) membenarkan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah untuk melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul di sini selepas solat Jumaat hari ini, lapor Utusan Malaysia Online.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, tiada sebarang halangan untuk ahli perniagaan itu untuk berbuat demikian meskipun masjid berkenaan adalah di bawah pentadbiran agensi agama itu.

Bagaimanapun tegas beliau, Jawi tidak mempunyai kaitan dengan sebarang tindakan dan urusan membabitkan upacara sumpah laknat mubahalah tersebut.

''Dia hendak bersumpah boleh di mana-mana, di tengah jalan pun boleh, sama seperti orang hendak datang bersolat di masjid, kita tidak halang.

''Jadi kita tidak halang kalau ahli perniagaan itu hendak buat sumpah laknat di premis di bawah pentadbiran Jawi tetapi, jangan kaitankan dengan Jawi kerana kita tidak terlibat langsung, '' katanya hari ini.

Semalam, Shazryl Eskay mengajak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melafazkan sumpah laknat atau bermubahalah bersama beliau di masjid berkenaan hari ini bagi merungkai isu video seks yang dikaitkan dengan pemimpin pembangkang tersebut. "Saya juga mempelawa semua pihak yang meragui kebenaran ini untuk turut hadir menyaksikan upacara tersebut," katanya pada sidang akhbarnya semalam.

Bagaimanapun, belum pasti sama ada dua lagi anggota Datuk T - bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) Datuk Shuib Lazim - akan turut serta mengambil tindakan sama.

"Kalau diperlukan (mereka bersumpah), kenapa tidak?" kata Shazryl Eskay ketika ditanya sama ada Abdul Rahim dan Shuib akan turut bersumpah.

Rahim yang turut hadir dalam sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur bersama Shuib bagaimanapun menyampuk:

"Eskay (bersumpah) wakili semualah."

Menurut Shazryl Eskay lagi, tindakannya esok bergantung kepada pandangan tokoh agama yang akan menyaksikannya.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan pihak berkenaan.



Jangan permainkan sumpah laknat

PAS mengingatkan semua pihak tidak mempermainkan sumpah laknat seperti yang mahu dibuat ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini berhubung video seks yang didedahkannya, lapor Harakahdaily.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dalam perundangan Islam, sumpah di hadapan hakim mahkamah syariah mempunyai nilai yang tinggi bagi menjaga martabat seseorang yang dituduh.

Bagaimanapun katanya, penuduh yang menggunakan kaedah sumpah laknat untuk membenarkan tuduhan, bukan sahaja akan merosakkan nilai sumpah itu sendiri, malah lari dari kaedah Islam.

"Sumpah mesti di dalam mahkamah atas arahan hakim syarie.

"Kita tengok sumpah ini dah jadi macam satu trend baru untuk menuduh orang. Lepas tuduh, bersumpah nak membenarkan tuduhan.

"Iaitu guna metodologi Islam (sumpah) untuk menghalalkan benda yang bukan syarak (fitnah)," katanya.

Beliau mengulas hasrat Eskay yang mahu bersumpah laknat di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pelaku dalam video seks yang didedahkannya.

Beliau juga turut mengulangi penegasan bahawa Anwar juga tidak perlu bersumpah atas desakan mana-mana pihak kecuali hakim mahkamah syariah.

"Jika Anwar bersumpah di khalayak seperti yang didesak pihak tertentu, adakah ia menjamin bahawa tuduhan ke atasnya itu digugurkan?" soal Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria turut menegaskan Anwar tidak perlu bersumpah mubahalah atau kerana pelaku dalam rakaman video seks masih belum dibuktikan lagi.

“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.

“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya.

Eskay Tidak hadir, Masjid Amru Al-As kecoh

Keadaan di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul menjadi kecoh apabila penyokong PKR pimpinan ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin mula melaungkan takbir serta ungkapan "kami mahu qazaf, bukan sumpah" selepas solat Jumaat hari ini.


 Mereka berkumpul di situ kerana sebelum ini, salah seorang anggota trio 'Datuk T" - Datuk Shazryl Eskay Abdullah - memberitahu semalam yang beliau akan melakukan sumpah laknat di masjid tersebut selepas solat Jumaat hari ini.

Semalam, Eskay mengajak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melafazkan sumpah laknat atau bermubahalah bersama beliau di masjid berkenaan itu hari ini bagi merungkai isu video seks yang dikaitkan dengan pemimpin pembangkang tersebut.

Kumpulan trio 'Datuk T' bertanggungjawab menayangkan video seks tersebut kepada sekumpulan wartawan sebelum ini, yang memapar seorang lelaki yang didakwa mirip Anwar.

Dua lagi anggotanya ialah bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.

Keadaan bertambah panas apabila mereka mendakwa ternampak pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali berada di sebelah mimbar.

Che Mat kemudian kelihatan keluar melalui pintu di belakang mimbar tetapi terdapat seorang penyokong PKR yang cuba mengejarnya untuk menyerah buku bertajuk Qazaf yang diterbitkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Selepas itu, kedengaran penyokong PKR bertakbir, dan keadaan menjadi bertambah panas apabila perkataan kasar, seperti 'bodoh' kedengaran di kalangan mereka yang berada dalam masjid.
Berikutan itu berlaku tolak menolak serta pertengkaran kecil antara penyokong PKR dan wartawan di situ,

Keadaan tolak menolak berterusan di kalangan 500 orang yang berada di dalam masjid yang bergerak keluar ketika penyokong PKR mengadakan solat hajat dan berdoa supaya orang yang membuat fitnah dikenakan hukuman.

Memandangkan keadaan kecoh tersebut, pengerusi masjid berkenaan, Abdul Razak Husin naik ke atas mimbar untuk menenangkan keadaan.

Beliau meminta semua orang keluar dari masjid bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

Abdul Razak berkata, beliau difahamkan upacara sumpah laknat itu telah dibatalkan.

Difahamkan terdapat wartawan yang mendapat kiriman SMS dari Eskay pada jam 2 petang tadi, memberitahu yang beliau bersolat Jumaat di masjid lain dan dalam perjalanan ke masjid di Sentul baru itu.

Sementara itu, Shamsul dan penyokong PKR telah keluar dari kawasan masjid sebelum mengadakan sidang akhbar.

Akhirnya Shazryl Eskay lafaz sumpah laknat di Masjid Amru Ibni Al As

Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Ibni Al As, Bandar Baru Sentul sebentar tadi berhubung rakaman video seks yang didakwa membabitkan individu mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan seorang wanita dipercayai warga asing.

Upacara itu bermula pada jam 4.15 petang tadi dan tamat jam 4.25 petang.

Shazryl melafazkan sumpah laknat itu bagi pihak dua yang lain iaitu Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim yang turut hadir pada upacara itu.
 
Sebelum ini, pengerusi masjid itu mengumumkan upacara berkenaan dibatalkan berikutan kekecohan di ruang solat berikutan bantahan daripada penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Turut hadir dalam upacara sumpah laknat itu ialah Tbekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Isu Sumpah Laknat Politik  Mempermainkan Islam - Eskay Abdullah By Mohd Rohaizad. Published: 29.4.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...