CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Justin Bieber Bersikap Besar Kepala Di Konsert Malaysia


Apabila artis popular dan digilai ramai remaja perempuan selalunya akan menunjukkan sikap besar kepala. Apa boleh buat? Justin Bieber sememangnya seorang remaja, pelbagai kerenah perlu dilayan. Di konsert yang pertama beliau di Malaysia ternyata mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga semua tiket sold out away dan terima kasih kepada Tune Talk yang rajin membawa artis antarabangsa kategori A ke Malaysia.
Demam penyanyi remaja popular, Justin Bieber telah pun berakhir malam tadi menerusi konsertnya yang julung kali diadakan di Malaysia iaitu Justin Bieber My World Tour.
Tidak dinafikan fenomena Justin Bieber sememangnya luar biasa. Bayangkan tiket sebanyak 15,000 ribu telah habis dijual dalam sekelip mata. Bahkan, peminat Justin Bieber sanggup tiba seawal 3.30 petang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur semata-mata untuk menyaksikan konsertnya yang dijadualkan berlangsung kira-kira jam 8.30 malam.

Jalan yang sesak sepanjang sekitar Stadium Merdeka, usah diperkatakan lagi serta disulami hujan lebat sementara menanti konsert bermula.

Meskipun ada yang merayu untuk memasuki stadium lebih awal daripada waktu yang dijadualkan jam 7 malam, namun ra-rata mereka kehampaan kerana pintu hanya dibuka mengikut waktu yang telah ditetapkan.

Tepat jam 8 malam, kemunculan Mizz Nina, membawakan tiga buah lagu yang mana antaranya adalah What You Waiting For telah meredakan sedikit kegelisahan peminat Bieber yang telah sekian lama menantikan kehadirannya.

Usai selepas Mizz Nina habis menyanyi, mereka kembali menjerit-jerit memanggil anak didik Usher itu supaya tampil segera ke pentas. Tetapi, Justin Bieber lebih selesa membuatkan peminatnya gelisah menanti kerana dia hanya akan muncul tepat jam 9 malam.

Memasuki 10 minit lagi sebelum jam 9 malam, sementara menanti detik permulaan, tiba-tiba suasana sekitar pentas sedikit tegang. Semuanya berlaku disebabkan petugas media yang terdiri daripada jurukamera dan jurugambar tidak dibenarkan menangkap gambar si comel tersebut.

Situasi itu menyebabkan petugas media dan pihak pengurusannya bertekak kerana mengikut prosedur yang telah ditetapkan sebelum ini, pihak media telah dibenarkan untuk merakamkan gambar dan visual untuk tiga buah lagu awal dendangannya saja.

Difahamkan arahan tersebut dikeluarkan sendiri oleh Justin Bieber yang comel itu kerana kononnya dia telah kecil hati dengan pihak media tempatan yang telah pun menangkap gambar sewaktu ketibaannya bersama buah hatinya, Selene Gomez di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

Remaja kelahiran Kanada ini, dikatakan berang kerana gambarnya bersama kekasih hati dirakamkan menerusi lensa jurukamera.

Di sebabkan itu, penyanyi berusia 17 tahun ini mengambil keputusan untuk tidak membenarkan mana-mana petugas media cetak atau elektronik mengambil gambar dan visual konsertnya.

Malah, dia juga mengugut untuk tidak memulakan konsert selagi petugas media ada berdekatan pentas dan berhasrat untuk merakamkan aksinya. Sikap Bieber yang dilihat kurang professional, besar kepala atau kekwat itu sememangnya menyusahkan pihak media yang bertugas.

Sementara itu, jika mahu diulas mengenai konsertnya, apa yang boleh dikatakan tidaklah sehebat mana pun. Mungkin, dia mampu menyanyi namun dia kelihatan agak kaku apabial beraksi di atas pentas. Hanya tahu nyanyi dan nyanyi dan nyanyi!. Tiada langsung komunikasi antara dua hala bersama peminat.

Jika ada pun, berulang kali yang Bieber hanya tahu sebut, ada ramai gadis cantik hari ini. Setiap kali diulang, setiap kali itulah peminat wanita atau pun mungkin ada juga peminat lelakinya yang akan menjerit.

Penyanyi ini juga lebih banyak berinteraksi bersama peminat menerusi rakaman visual percakapannya yang dipasang di skrin besar.

Dari segi vokal usah dipertikaikan sangat kerana rasanya semua sudah sedia maklum bahawa suara lelaki berusia 17 tahun itu yang boleh dikategorikan sekadar bolehlah menyanyi.

Memulakan persembahan menerusi lagu Love Me, si cilik berusia 17 tahun, membuatkan peminatnya histeria. Belum lagi ketika dia membuat reaksi wajah comelnya di pentas yang dapat disaksikan menerusi skrin besar oleh peminatnya.

Itu lagilah membuatkan peminatnya kehabisan suara akibat menjerit. Meneruskan nyanyian dengan lagu Bigger dan You Smile, aksi tarian Bieber juga dilihat biasa-biasa sahaja.

Tetapi bagi peminat fanatiknya, sememangnya apa sahaja yang dilakukannya terbaik bahkan sewaktu Bieber membuka jaketnya kerana kepanasan turut mengundang jeritan.

Mendendangkan lebih 10 buah lagu antaranya One Less Lonely, Somebody To Love dan Never Say Never, apa yang boleh dikatakan sepanjang lebih sejam menyaksikan konsert si comel kegilaan ramai ini tidak dapat dirasai klimaksnya.

Jika ada pun mungkin sewaktu dia membuat kejutan dengan menjemput penyanyi Good Charlotte, Joel Maiden mendendangkan lagu Want Be Love.

Menutup tirai konsert anjuran Tune Talk ini, Bieber tampil menyanyikan lagu popularnya Baby buat peminatnya. Jika dihitung konsert semalam, mungkin konsert Bieber hanya sekadar cukuplah sekali untuk disaksikan!.-Murai



Dikemaskini: Peminat Happening Bersama Justin Bieber Di Konsert Jelajah Malaysia By Tune Talk


Apa yang hebat sangat tentang Justin Bieber ini? Itu persoalan yang sering bermain di fikiran setiap kali mendengar atau membaca kisah penyanyi remaja popular yang mencetuskan fenomena luar biasa ini. Kelmarin, Justin Bieber membuktikan dia cukup hebat dan menjadi kegilaan peminat di seluruh dunia.

Konsert Justin Bieber My World Tour yang berlangsung di Stadium Merdeka malam kelmarin berjaya menarik hampir 17 ribu penonton. Difahamkan semua tiket berharga RM98, RM188, RM288, RM358, RM498 dan RM888 habis dijual dalam sekelip mata walaupun rata-rata peminatnya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja belasan tahun.

Bagaikan tidak percaya dengan fenomena yang dicetuskan oleh Justin ini. Dari awal lagi banyak kesukaran yang terpaksa ditempuh untuk sampai ke lokasi konsert. Sudahlah terpaksa menempuh perjalanan kira-kira dua jam kerana jalan sesak teruk dan harus meredah hujan lebat pula kerana kawasan meletak kenderaan terlalu jauh dari stadium. Tiada pengecualian walaupun untuk petugas media!

Menjenguk ke dalam stadium, sekali lagi terkejut dengan suasana yang dicetuskan penyanyi kelahiran Kanada ini. Peminat dilihat tidak senang duduk dan sering melaung-laungkan nama Justin. Hujan renyai-renyai langsung tidak menganggu konsentrasi penonton yang berada di tengah padang.

Tepat jam 8.00 malam, Mizz Nina muncul dalam keriuhan bagi meredakan kegusaran peminat yang sudah tidak sabar-sabar menunggu. Sesuai dengan tema konsert ini Mizz Nina berjaya menghangatkan suasana dengan tiga lagu berentak rancak termasuklah lagu popularnya What You Waiting For.

Sejurus selepas persembahan daripada Mizz Nina, ingatkan Justin akan terus muncul di pentas, tetapi sebaliknya berlaku. Peminat dibiarkan terus menunggu. Dalam suasana hiruk-pikuk itu, pihak media mendapat tahu Justin tidak mahu memulakan persembahan selagi petugas media yang menggunakan kamera dan video untuk merakamkan aksinya berada di depan pentas.

Alasan penyanyi ini, dia kecewa kerana ada pihak media yang telah merakamkan gambarnya bersama kekasih, Selena Gomez tanpa kebenaran sewaktu dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang kelmarin.

Tindakan kurang professional Justin ini membuatkan ramai petugas media kurang senang. Ini kerana dalam jemputan daripada pihak penganjur , pihak media dibenarkan mengambil foto dan visual untuk tiga lagu pertama.

Walau apa pun, ulasan tentang persembahan remaja berusia 17 tahun ini. Sejujurnya, Konsert Justin Bieber My World Tour ini biasa sahaja. Tiada kejutan yang boleh diperkatakan untuk tempoh masa yang lama. Jika ada pun, mungkin sewaktu dia menjemput penyanyi Good Charlotte, Joel Maiden, naik ke pentas untuk menyampaikan Want Be Love.

Apa yang luar biasa ialah peminat Justin sendiri. Mereka sanggup bersesak-sesak dan menghabiskan ratusan ringgit untuk menyaksikan bintang pujaan mereka . Bukan itu sahaja, malah ada yang sanggup tidak ke sekolah semata-mata untuk ke konsert ini.

Justin memulakan persembahan tepat jam 9.00 malam dengan menyampaikan lagu Love Me. Kemunculannya mendapat sorakan yang cukup gemuruh. Ramai remaja wanita dilihat terpekik-pekik memanggil nama Justin dan menyanyi bersama.

Justin meneruskan persembahan dengan menyampaikan lagu Bigger dan U-Smile yang juga merupakan lagu popularnya. Selepas lagu ketiga ini barulah Justin menyapa peminat dengan berkata; “Hello Malaysia, welcome to my world.”

Persembahan terhenti seketika sebelum Justin muncul semula dengan beberapa lagu diiringi gerakan tarian yang diselitkan elemen lakonan. Masuk lagu kelima dan keenam, Justin memukau penonton dengan menyampaikan dua lagu secara akustik untuk lagu Favourite Girl dan Runaway Love.

Ketika menyanyikan lagu One Less Lonely Girl, Justin membawa seorang peminat perempuan naik ke pentas. Remaja perempuan ini adalah pemenang peraduan mencipta video ucapan kreatif untuk Justin Bieber yang dianjurkan Tune Talk Sdn Bhd. Selain menghadiahkan bunga, Justin juga dilihat beberapa kali memegang tangan pemenang ini.

Untuk persembahan kira-kira sejam setengah itu, Justin menyampaikan hampir lima belas buah lagu kesemuanya. Tidak ketinggalan lagu berhantunya, Baby yang dinyanyikan sebagai lagu penutup. Selain dapat menyaksikan Justin menyanyi, peminat juga dihiburkan dengan tayangan klip video penyanyi ini ketika dia masih kecil sehingga detik-detik dia dilamar oleh Usher.

Itulah penangan Justin Bieber di Malaysia. Kelompok peminat Bieber yang menggelarkan diri mereka Bieliebers terus meminati remaja 17 tahun itu tanpa mengira kritikan dan kutukan yang dilontarkan oleh sebahagian penduduk dunia terhadapnya. Ada sesuatu pada remaja tersebut yang membuatkan dia terus diminati.

Selain wajah comelnya yang terus menghantui mimpi-mimpi peminatnya, Bieber akan terus diingati sebagai individu paling berpengaruh majalah Time sebaris dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, pelakon drama siri Glee, Chris Colfer, pengasas rangkaian sosial Facebook, Mark Zuckerberg, pengasas Wikileaks, Julian Assange dan jutawan Oprah Winfrey.

Bieliebers akan terus hanyut dalam dunia Justin Bieber, sampai bila fenomena ini akan berterusan, hanya Bieber yang ada jawapannya kerana hanya usahanya yang berterusan sahaja yang akan dapat mengekalkan popularitinya sampai bila-bila.-Gua

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Justin Bieber Bersikap Besar Kepala Di Konsert Malaysia By Mohd Rohaizad. Published: 22.4.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...