CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Persatuan Air Malaysia (MWA) Tarif Air Perlu Disemak Bagi Menangani Krisis Air


Isu air yang dihadapi sesetengah negeri sangat membimbangkan, berapa tahun lagikah ada yang mampu bertahan? Hal ini meyebabkan Persatuan Air Malaysia (MWA) mencadangkan syarikat utiliti menyemak semula struktur tarif air semasa di negeri masing-masing sebagai langkah lestari dalam menangani krisis air di masa hadapan.

Presiden MWA Ahmad Zahdi Jamil berkata ini berikutan tarif semasa tidak menggalakkan kelestarian air selain terlalu murah, dan tidak bersifat menghukum penggunaan air berlebihan.

"Beberapa negeri utama di Malaysia bakal berdepan kekurangan air yang serius pada 2014, jika langkah tidak diambil bagi mencegah penggunaan berlebihan atau pembaziran, selain tahap air bukan hasil (NRW) yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan MWA ke-23 di Kuala Lumpur hari ini.

Merujuk Johor dan Pulau Pinang sebagai contoh, beliau berkata tarif air domestik di Johor adalah yang tertinggi di Semenanjung Malaysia dengan kadar RM0.61 semeter padu berbanding Pulau Pinang, iaitu yang termurah, pada RM0.20.

Perbezaan tarif turut memberi kesan terhadap penggunaan air domestik di Johor iaitu 205 liter per kapita sehari pada 2009 berbanding 286 liter di Pulau Pinang, katanya.  

Ahmad Zahdi berkata Indeks Kelestarian Air menunjukkan bekalan dan penggunaan air di Malaysia menurun dari 64 peratus pada 1992 kepada 33 peratus pada 2002, suatu gambaran bahawa sumber air negara semakin berkurangan, dan telah diurus secara tidak lestari.

Beliau berkata semakan pada masa yang tepat perlu mengambil kira pengguna kurang berkemampuan dan keupayaan meningkatkan simpanan bekalan air di kalangan rakyat.

"Kenaikan tarif air mesti dilakukan dengan berhati-hati agar tidak membebankan mereka yang kurang berkemampuan dan tidak dibuat secara drastik. Dalam jangka panjang, kenaikan itu mesti mencerminkan kos yang boleh didapatkan semula," katanya.

Malaysia mencatat penggunaan air tertinggi dan kadar tarif termurah di kalangan negara Asean.

Secara purata, Malaysia menggunakan 280 liter air sehari, lebih tinggi dari Singapura (155 liter), Filipina (175) dan Indonesia (130).

Ahmad Zahdi juga berkata masalah NRW, antaranya disebabkan kebocoran paip dan sambungan haram, perlu ditangani dengan serius.

Beliau berkata pada 2009, purata NRW di kalangan negeri ialah 36.6 peratus dengan Pahang sebagai yang tertinggi pada kadar 59.9 dan Selangor, yang terendah pada 19 peratus.

Beliau berkata MWA telah mencadangkan satu resolusi kepada kerajaan Persekutuan berhubung isu itu dan berharap mendapat peruntukan sewajarnya bagi menangani masalah tersebut.

"Kita perlu menangani isu NRW secara holistik dan strategik," katanya.

Persatuan itu mempunyai kira-kira 2,100 anggota yang kebanyakannya merupakan penggiat industri, ahli akademik, pakar dan individu.-Bernama

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Persatuan Air Malaysia (MWA) Tarif Air Perlu Disemak Bagi Menangani Krisis Air By Mohd Rohaizad. Published: 23.4.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...