CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Album Terbaru Spider 2011 - "KITASATU" - Konsep Ska Rock




Kumpulan Spider dengan album terbaru mereka, KITASATU! Dengan genre pop rock ala konsep ska rock, mereka masih memperjuangkannya demi peminat setia. Bukan mudah untuk sesebuah kumpulan muzik bertahan selama hampir 15 tahun dalam industri muzik tanah air. Sudah semestinya banyak dugaan, pahit manis yang perlu di tempuh untuk kekal bertahan dalam memperjuangkan genre muzik yang mereka bawa selama ini.

Bukan calang-calang orang  boleh bertahan, tetapi inilah yang telah dibuktikan oleh 4 orang rockers yang berasal dari Johor. Nama SPIDER bukan lagi sesuatu yang asing bagi peminat setia muzik ‘ska rock’ tempatan, malah SPIDER juga berjaya menambat hati penggemar muzik dari kalangan “generasi Y”.

“KITASATU” merupakan album SPIDER yang kelima semenjak kemunculan album studio pertama mereka “Ngam Ho” yang di hasilkan pada tahun 1999. Album KITASATU mempertaruhkan 7 buah lagu kesemuanya; Ajaib, Rasakan Resapkan, Kitasatu, Tapi Bagaimana, Bukan Salah Aku, Kitasatu versi piano dan Bukan Salah Aku versi live akustik.

Kesemua lagu adalah hasil ciptaan Tam( vokalis/gitaris) sendiri, kecuali “Bukan Salah Aku” merupakan ciptaan bersama mereka berempat. Buddhi Hekayat, M. Nasir dan Keon merupakan mereka yang terlibat  menyumbangkan lirik bagi album kali ini.

Menurut SPIDER, KITASATU masih lagi mengekalkan konsep “ska rock” , cuma terdapat sedikit eksperimentasi yang cuba di ketengahkan oleh mereka menerusi beberapa buah lagu  di dalam album ini. Lagu “Rasakan Resapkan” jelas menampakkan keberkesanan eksperimental mereka. Masih lagi mengekalkan kerancakan,  cuma lagu ini sedikit berat dari segi lirik serta banyak bermain dengan ‘effect’ gitar dan keyboard. Lirik dari M. Nasir serta  lagu ciptaan Tam ini berjaya membawa satu kelainan dari kebanyakan koleksi hits SPIDER sebelum ini.

“Kitasatu”, merupakan single yang sedang rancak diputarkan melalui stesen-stesen radio tempatan mutakhir ini. Lagu ini memang mudah untuk mendapat tempat di hati pendengar sebagaimana lagu-lagu berentak balada mereka dari album yang lalu. Tidak terlalu mendayu, namun tetap puitis dengan melodi dan liriknya yang disampaikan melalui cara Tam sendiri. Kalau nak lebih ‘feeling’, dengarkan versi piano. Lebih syahdu lagi jika di layan pada waktu lewat malam!

“Ajaib” juga merupakan antara lagu yang perlu diberi perhatian. Lagu berentak ‘ska-rock’ ini bisa membuatkan anda teringin untuk ‘skankin’! Menerusi lagu ini, kita dapat melihat susunan muzik yang kreatif dan lebih matang dari SPIDER. Mereka berani mempelbagaikan rentak dari rancak kepada santai dan sedikit ala ‘broadway’ pada chorus lagu.” Brass section” atau susunan trumpet, saxaphone dan trombone untuk lagu ini benar-benar menonjolkan lagi karektor ska nya.

Syabas buat SPIDER untuk kemunculan album KITASATU! Sedikit cadangan buat SPIDER, penampilan mereka mungkin akan lebih menarik ketika di pentas jika mengenakan pakaian yang sedikit mod atau apa sahaja yang ada elemen ska. Walau bagaimana pun, album ini cukup menarik untuk dimiliki walaupun hanya 7 buah lagu yang terkandung di dalamnya.

Namun bagi peminat setia SPIDER, setiap penantian akan kemunculan album baru mereka tidak pernah mengecewakan. Lihat sahaja pada 4 album SPIDER yang terdahulu, setiap satu daripadanya pasti ada 3 atau lebih lagu hits yang kerap dimainkan oleh stesen-stesen radio. Cuma apa yang tiada dalam album SPIDER kali ini adalah, hasil sentuhan penulis lirik lagenda, Allahyarham Rosli Khamis ataupun Loloq yang begitu sinonim dengan SPIDER.

Dapatkan album KITASATU yang sudah pun berada di pasaran dengan harga RM26.90. Teruskan menyokong pemuzik-pemuzik tempatan! (Gua)

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Album Terbaru Spider 2011 -  "KITASATU" - Konsep Ska Rock By Mohd Rohaizad. Published: 4.5.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...