CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Final Mentor 5: Iqa, Shiha & Salma (Markah Undian)


Final Mentor 5 semakin sengit apabila 3 finalist iaitu Iqa, Shiha dan Salma mendapat markah undian tinggi untuk layak ke final. Jika ada yang menjangkakan kemenangan mudah Salma ke pusingan terakhir Mentor 5, keputusan malam ini cukup mengejutkan peminat tegar protege Erra Fazira ini.

Jika bukan keputusan pihak TV3 untuk menjadikan persaingan akhir 'a three-way fight', Salma memang tidak berpeluang langsung untuk beraksi di pentas akhir pada 29 Mei ini.

 Gambar Iqa mendahului semi-final Mentor 5

Di mana kesilapan Salma dan mentornya, Erra Fazira? Adakah disebabkan Salma 'peak' terlalu awal? Sejujurnya, kami memang kagum dengan vokal Salma yang lantang tetapi saban minggu, Salma nampaknya hanya bersandarkan kekuatannya yang itu saja.

Berlainan pula ceritanya dengan Iqa. Iqa cukup menyerlah malam ini. Begitu juga Shiha. Pada mata kasar kami, mereka telah menunjukkan peningkatan yang ketara sepanjang tempoh pertandingan. Dan usaha mereka itu tidak dilepas pandang oleh para juri profesional dan awam.

Buat Iqa dan Shiha, teruskan usaha kamu itu. Dan Salma, percaturan yang lebih baik perlu dilakukan untuk finale nanti jika Salma ingin membawa pulang gelaran juara Mentor 5.

Markah undian semi-final Mentor 5, Ratnah tersingkir:

Salma: 49; 64; 113

Ratnah: 42; 46; 88

Shiha: 58; 61; 119
Iqa: 57; 69; 126
  
Betul Ke Penerbit Mentor 5: Selamatkan Salma & Erra Fazira?

Keputusan untuk memasukkan Salma, yang kebetulan finalis ketiga berdasarkan markah keseluruhan pusingan separuh akhir, ke finale Mentor 5 dibuat bukan untuk 'menyelamatkan' Salma.

Jelas penerbit eksekutif dan pengarah musim kelima Mentor, Muhamad Sufian Isa, keputusan itu dibuat awal hari ini selepas perbincangan dengan penasihat rancangan dan juri.

"Memang sejak dari awal, kita ada memaklumkan para mentor dan protege bahawa hanya akan ada dua finalis di finale nanti. Tetapi kita mengambil kira banyak faktor sebelum membuat keputusan ini. Ia bukan satu misi menyelamatkan Salma ataupun sekadar mencukupkan kuota.

"Kami melihat kemasukkan Salma sebagai memberi persaingan yang lebih hebat kepada Iqa dan Shiha. Ada lebih banyak kebaikan daripada keburukannya. Kami sedar keputusan ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peminat dan mentor tetapi kami minta semua melihat perkara ini sebagai satu persaingan sihat.

"Buat masa ini, semua mempunyai peluang sama rata untuk bergelar juara. Rebutlah peluang yang diberikan ini untuk melakukan yang terbaik."

Erra terkejut Salma layak ke final

Memberi komennya tentang kemasukkan Salma di saat-saat akhir, mentornya Erra Fazira mengakui terkejut dengan keputusan tersebut.

"Ia peluang terakhir untuk Salma menonjolkan dirinya. Saya percaya dia boleh membuat lebih baik lagi.

"Tadi dia pun terkilan kerana melakukan kesilapan. Apa yang berlaku malam ini akan membuat dia bangun balik sebab keputusan minggu depan akan tentukan hala tujunya selepas ini."

Shiha lebih bersemangat

Bila ditanya pada Shiha jika dia ambil kisah dengan kemasukkan Salma di finale, katanya tidak kira ia persaingan dua penjuru atau tiga penjuru, dia selesa.

Tambahnya, Salma seorang pesaing yang hebat. "Jadi saya perlu mencari sesuatu lebih supaya penonton dapat melihat kelebihan saya."



Nasihat Datuk Ramli MS Buat Finalis Mentor 5

"Kita memang di landasan yang betul walaupun saya agak terkejut dengan Salma. Dia sebenarnya tidak patut membuat kesilapan, lebih-lebih lagi untuk lagu pertama.

"Adat pertandingan jika lagu pertama ada kesilapan, memang tidak boleh diampunkan. Terutamanya pada tahap dia," luah juri tetap Mentor 5, Datuk Hj Ramli MS yang ditemui selepas konsert terakhir separuh akhir tadi.

Menurut beliau, dipersetujui juri jemputan minggu ini, Mas Idayu, Salma salah masuk 'key' untuk lagu "Nirmala".

"Nasihat saya untuk Salma, kekuatan anda adalah pada lagu 'pop adult rock', jadi lebih baik jika anda kekal pada lagu bergenre itu. Bila anda mencuba genre lain, nampak kelemahan anda."

Tidak sempat memberikan komennya ketika siaran langsung tadi kerana kesuntukan masa, beliau mengucapkan tahniah pada tiga finalis yang akan mara ke malam kemuncak Mentor 5. Namun pada masa yang sama, beliau mengingatkan mereka bertiga untuk memberikan segalanya pada malam itu.

"Jangan lagi nak 'try try'. Itu adalah konsert terakhir. Buatlah yang paling maksimum."




Iqa Ingin Buktikan Dirinya Layak Juarai Mentor 5

"Syukur alhamdullilah sebab memang tak sangka. Macam tak percaya sebab semuanya tadi hebat-hebat. Dan Iqa sebenarnya tidak berapa yakin dengan persembahan ketika konsert pertama separuh akhir minggu lepas.

"Ini mungkin rezeki Iqa. Berbaloi jugalah usaha Iqa selama ini. Terima kasih pada abang Edry, Ajai, kawan-kawan dan semua yang membantu Iqa," kongsi pemilik nama penuh Nursyafiqah Nasratullah bt Mohd Nor yang tidak pernah menjuarai konsert mingguan Mentor 5 sebelum ini.

"Tapi kemenangan minggu ini tidak bermaksud Iqa dah bagus. Banyak lagi yang perlu diperbaiki. Masa final nanti, Iqa kena tingkatkan lagi usaha kerana saingan sangat sengit. Iqa akan buat yang terbaik."

Tambahnya, menjelang finale Mentor 5, tekanan mental yang dirasai kini berkali ganda daripada yang dihadapi ketika konsert mingguan. Namun begitu, dia sudah bersedia.

"Iqa nak buktikan Iqa boleh mara jauh dalam pertandingan ini dan Iqa setaraf dengan mereka (Shiha dan Salma). Iqa tiada masalah dengan kemasukkan Salma di final sebab dia memang layak. Dia bagus dan jarang buat kesilapan.

"Iqa hormatinya. Dia mempunyai semangat yang kuat. Kita perlu bersaing secara sihat. Bila ada persaingan barulah kita akan terdorong untuk membuat yang lebih baik."

Edry: Iqa kena lulus cemerlang

Sebagai mentor, melihat anak didik memiliki keputusan yang berjaya dicapai Iqa malam ini, Edry semestinya cukup berbangga. Malah dia berkongsi tidak akan terkejut jika di malam penentuan nanti, Iqa akan sekali lagi menyerlah.

"Iqa seorang yang berbakat. Selama ini, dia fokus pada persembahan, pada mengilap vokalnya. Dan kami selalu peka terhadap komen-komen Datuk (Hj Ramli MS).

"Pertandingan Mentor merupakan satu larian marathon. Untuk menang, peserta perlu 'sprint' di saat-saat akhir. Bagi saya, Iqa telah 'peak' di masa yang betul dan harapan saya dia dapat mengekalkan momentum ini.

"Sebenarnya dalam mana-mana pertandingan, seseorang peserta itu mengambil masa untuk 'improve'. Saya ambil Iqa sebagai seorang pelajar baru dan minggu depan merupakan ujian terakhirnya. Dia kena lulus dengan cemerlang.

"Malam ini Iqa telah memberikan persembahan yang baik. Bila seseorang itu berjaya menjiwai sebuah lagu itu, sukar untuk sesiapapun mengalahkannya."

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Final Mentor 5: Iqa, Shiha & Salma (Markah Undian) By Mohd Rohaizad. Published: 23.5.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...