CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Isu Pilihan Raya Thailand: Thaksin Shinawatra Rasuah Pengundi


 
Selepas pembubaran parlimen Thailand, isu pilihan raya Thailand hangat diperdebatkan setelah dibangkitkan isu rasuah pengundi oleh bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang dikatakan merasuah bakal pengundi dengan janji-janji yang mewah untuk pilihan raya kali ini.  Parti-parti bersekutu yang lain turut terlibat dalam menabur janji-janji manis kepada rakyat dan menyokong Thaksin Shinawatra.
 
Komputer telapak percuma untuk pelajar, kad kredit buat pemandu teksi dan kenaikan gaji sebanyak 25 peratus adalah antara ganjaran yang menanti pengundi selepas Parlimen Thailand dibubarkan hari ini bagi membuka jalan untuk mengadakan pilihan raya umum pada 3 Julai 2011.

Parti pembangkang Pheu Thai serta Parti Demokrat yang memimpin kerajaan gabungan, menjadi dua pesaing utama pada pilihan raya terbabit dan kedua-duanya menabur pelbagai janji sejak bulan lepas iaitu sebelum Parlimen dibubarkan. 
 
Thaksin Shinawatra, pemimpin de facto Pheu Thai berjanji menyediakan komputer telapak percuma kepada setiap pelajar sekolah rendah jika parti itu dipilih menerajui pemerintahan. 
 
Thaksin menjadi Perdana Menteri pada 2001, namun disingkirkan menerusi satu kudeta tentera tanpa sebarang pertumpahan darah pada 19 Sept 2006 ketika beliau berada di luar negara.

Beliau kemudian tinggal dalam buangan sendiri selepas Mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya bagi kesalahan rasuah pada 2008.

Thaksin turut mendampingi teksi motosikal dan pemandu teksi serta menawarkan kad kredit percuma kepada mereka, jika parti beliau memenangi pilihan raya itu.

Komputer telapak dikatakan bagi membantu pengajian pelajar menerusi penggunaan teknologi terkini manakala kad kredit berkenaan boleh digunakan sebagai dana pusingan untuk membayar harga minyak dan menampung kos teksi motosikal serta pemandu teksi.

Di Thailand, teksi motosikal adalah satu bentuk pengangkutan awam khususnya bagi mereka yang mendambakan perjalanan pantas namun murah untuk jarak dekat.

Thaksin juga berjanji menyediakan dana sejuta baht (kira-kira RM100,000) bagi setiap kampung di seluruh Thailand untuk program pembangunan masing-masing.

Bagi sektor ekonomi, beliau berjanji mengurangkan cukai korporat daripada 30 peratus kepada 23 peratus serta membasmi kemiskinan dalam tempoh empat tahun.

Graduan baru juga dijamin memperoleh gaji minimum 15,000 Baht (kira-kira RM1,500) dan gaji minimum akan ditetapkan pada kadar 300 Baht (kira-kira RM30) sehari.

Bagi menangani masalah di wilayah selatan Thailand, beliau mencadangkan kawasan itu dijadikan satu zon pentadbiran yang khusus seperti Bangkok atau Pattaya.

Senarai panjang janji Thaksin termasuk: menyelesaikan masalah banjir di Bangkok dengan pembinaan "megadyke"; 10 landasan keretapi elektrik baru di Bangkok dengan yuran tetap 20 Baht (RM2); pangsapuri dan rumah baru untuk pelajar miskin dengan kadar sewa bulanan 1,000 Baht (kira-kira RM100); membina keretapi laju dari Bangkok ke Chiang Mai dan bandar lain; meluaskan hubungan landasan lapangan terbang; membina sebuah jambatan bagi menghubungkan Laut Andaman dengan Teluk Thailand; menghapuskan masalah dadah dalam tempoh setahun; penangguhan bayaran bagi mereka yang berhutang antara 500,000 Baht dan 1 juta Baht (kira-kira RM50,000 dan RM100,000) bagi tempoh tiga hingga lima tahun; beras tanpa had dijamin pada harga 15,000 Baht (kira-kira RM1,500) bagi setiap tan; Dana berjumlah 1 bilion Baht (kira-kira RM100 juta) bagi membantu universiti awam dan swasta; pengurangan cukai bagi mereka yang membeli rumah atau kereta ekonomi pertama.

Beliau juga berikrar meminda Perlembagaan negara itu kepada situasi sebelum kudeta, manakala Pheu Thai akan berusaha mendapatkan pengampunan untuknya jika parti terbabit memenangi pilihan raya itu.

Thaksin, bekas pegawai polis yang menjadi ahli perniagaan bergelar bilionaire sebelum menceburi politik berkata, beliau mempunyai banyak idea berhubung ekonomi, politik dan sosial, namun enggan mendedahkannya buat masa ini kerana bimbang diciplak musuh.

Pheu Thai yang menggantungkan harapan tinggi terhadap populariti Thaksin serta sokongan kewangan beliau, tampil dengan slogan: "Thaksin Merancang, Pheu Thai Bertindak," bagi menarik pengundi.

Kudeta pada 2006 dan penyitaan oleh mahkamah Thailand tahun lalu yang membabitkan 46 bilion Baht (kira-kira RM4.6 bilion) daripada aset beliau berjumlah 76 bilion Baht (kira-kira RM7.6 bilion) yang dibekukan selepas Thaksin didapati bersalah memiliki kekayaan luar biasa, masih segar di ingatan, jadi sudah semestinya Thaksin akan bertungkus-lumus memastikan kemenangan Pheu Thaipada pilihan raya itu.

Ia akan menjadi pasport untuk beliau kembali ke tanah air, selain memperoleh hartanya semula.

Sementara itu, Parti Demokrat antara lain berjanji menaikkan gaji sehingga 25 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang berikutan kenaikan kos hidup.

Pemimpin Demokrat, Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva mengingatkan pengundi supaya tidak menggunakan hak mereka bagi menyelesaikan masalah sesetengah ahli politik, sebaliknya menyelesaikan masalah rakyat.(Bernama)

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Isu Pilihan Raya Thailand: Thaksin Shinawatra Rasuah Pengundi By Mohd Rohaizad. Published: 11.5.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...