CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Khairy Jamaluddin Sertai Askar Wataniah - Ahli Paracut Statik


Betul ke Khairy Jamaluddin sertai askar wataniah dan menjadi ahli paracut statik? Bagaikan seorang broker saham yang sentiasa meramal tetapi tidak tahu apa akan terjadi waktu seterusnya, ‘satria’ ini nekad membuat perhitungan peribadi memperjudikan nasib sendiri dek kerana minat dalam bidang ketenteraan.

Walaupun berminat dalam bidang lasak itu, sepanjang hayat beliau tidak pernah melakukan penerjunan paracut. Penerjunan sulung pada aras ketinggian 304.8 meter (1,000 kaki) di udara benar-benar menguji mental dan fizikal Prebet Khairy Jamaluddin.

Akuinya, hati berdebar-debar ketika berada di pintu pesawat saat bersiap sedia untuk terjun.

Apatah lagi apabila diberi penghormatan menjadi penerjun pertama.

“Semasa berada di pintu pesawat untuk siap sedia terjun, bila lampu merah menyala kita memang dah sedia dan bila bertukar hijau, jurulatih kata go...terus hayun kaki dan terjun. Ketika lompat memang saya berdebar dan jadi blank hingga terlupa nak baca doa. Kononnya nak baca doa sebelum terjun, tetapi tak sempat hanya dapat baca Bismillah.

“Selepas keluar dari pesawat, rasa seperti disedut macam vakum sebab kapal terbang bergerak, angin di belakang bagai menyedut dan ia satu pengalaman memang tidak boleh dilupakan,” cerita Khairy ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Plaza Damansara, Bukit Damansara baru-baru ini.

Ujarnya, selepas keluar dari pesawat pemandangannya bertukar jadi senget sebelum kembali normal dan pada ketika itu beliau mempunyai tiga saat untuk memeriksa paracut.

Perasaan berdebar sedikit demi sedikit beransur lega sebaik terasa disentap, ini kerana paracut berkenaan telah kembang dan terapung di udara dalam masa 10 saat sebelum kaki mendarat ke bumi.

 Khairy Jamaluddin dan 20 pelatih gembira kerana bangga melunaskan cabaran untuk bergelar Ahli Paracut Statik Tahap 1.

Ahli Paracut Statik Tahap 1

Khairy yang merupakan Ahli Parlimen Rembau dan juga Ketua Pemuda UMNO menyertai pasukan Askar Wataniah pada Mei tahun lalu melakar satu lagi sejarah buat dirinya selepas tamat kursus di Zon Gugur Padang Sanai di Kedah 17 Februari.

Kejayaan beliau membuat terjunan membolehkan beliau menerima sayap penerjunan Kursus Ahli Paracut Statik Tahap 1. Kursus itu berlangsung selama lima minggu bermula 13 Januari lalu.

Majlis yang dirasmikan oleh Panglima Medan Tentera Darat, Panglima Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi itu, melibatkan 80 pelatih kursus Ahli Paracut Statik Tahap 1 dan 21 pelatih Kursus Ketua Penerjunan Tahap 2.

Pada majlis itu beliau bersama 20 pelatih kursus itu turut melakukan penerjunan terakhir menggunakan pesawat CN-235.

Pengalaman yang tidak dijangka oleh dirinya itu melayakkan Khairy menerima anugerah tersebut setelah sebelum itu berjaya melaksanakan latihan asas penerjunan di Kem Sungai Udang, Melaka.

“Secara jujur semasa mula-mula mahu mengambil sayap ini memang ada terfikir sama ada saya lulus, cedera atau tarik diri. Perasaan ketika itu 50-50, terfikir juga betul ke boleh lakukannya.

“Bila dapat pakai sayap airbone ini memang puas hati sebab saya melalui semuanya. Tidak ada apa-apa latihan yang saya tak buat. Mungkin ada orang ingat saya buat sikit-sikit. Saya tidak pernah ponteng apatah lagi tinggal Kem Sungai Udang,” jelas beliau.

 Khairy Jamaluddin (kiri) melihat gelagat anaknya, Jibreil Ali (kanan) memberi tabik hormat.

Mengimbas latihan itu, beliau mengakui penerjunan kedua adalah paling menakutkan berbanding yang pertama kerana kita sudah tahu situasi ketika terjun dari pesawat.

“Sebenarnya setiap kali terjun memang ada rasa berdebar. Bila saya tanya komando yang dah terjun beribu kali pun mengakui perasaan itu memang ada. Kalau sesiapa yang tidak ada perasaan sedemikian mungkin dirinya ada yang tidak kena.

“Malah slogan tidak rasmi semua Anggota 10 Para (airbone), Every jump is a first jump,”' katanya.

Kata Khairy, beliau menjalani kursus tersebut untuk membuktikan semangatnya yang cintakan negara, selain memenuhi hasratnya untuk menyertai aktiviti itu sejak dulu lagi.

“Selepas menamatkan kursus Askar Wataniah tahun lepas saya diminta untuk menjalani kursus pegawai tetapi, bila saya tengok kursus penerjunan ini saya terus memohonnya kerana ia menjadi minat saya dari dulu.

“Saya berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia kerana membenarkan saya menyertai kursus ini. Dapat menyertai latihan bersama anggota tetap daripada peringkat prebet hingga mejar sesuatu pengalaman berbeza kerana memberi peluang kepada dirinya menghayati disiplin, ketabahan dan kecergasan seorang anggota tentera,” luah beliau.

Hadir sama memberi sokongan moral pada majlis tamat kursus itu ialah bekas Perdana Menteri yang juga bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah; ibu Khairy, Datuk Rahmah Abdul Hamid dan isteri Khairy, Nori Abdullah. Tidak ketinggalan dua anaknya, Jibrail Ali Jamaluddin, 3, dan Timor Abdullah, 2.

Menurut Khairy, penglibatannya dalam wataniah itu merupakan usaha peribadinya berkhidmat untuk negara biarpun ketika ini sebagai wakil rakyat beliau telah berkhidmat untuk negara.

 Khairy Jamaluddin berbangga kerana berpeluang menyertai pasukan Askar Wataniah.

Khairy Jamaluddin minat dalam tentera

“Saya memang minat dalam bidang ketenteraan ini agak lama tetapi sebelum ini tak ada masa untuk mengikuti wataniah. Walaupun sekarang bertambah sibuk dengan tugas wakil rakyat saya bertekad beriltizam untuk cari masa,” katanya.

Jelasnya, usaha peribadi itu disifatkan tidak ada kena mengena dengan status beliau sebagai Ahli Parlimen atau pun Ketua Pemuda UMNO.

Ketika ditanya mengapa beliau mahu terlibat dalam pasukan tentera simpanan, beliau menjawab: “Saya nampak bidang tentera ini lebih sesuai kepada minat saya. Saya lebih minat bahagian tentera darat - infantri dan juga teori-teori pertahanan strategik.

“Kalau mereka minat kepada ketenteraman awam, banteras jenayah dan sebagainya mungkin boleh sertai sukarelawan polis dan kepada yang minat pertolongan cemas pula boleh sertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).”

Beliau berpendapat latihan ketenteraan dalam wataniah amat berfaedah bagi generasi muda kerana negara ini tidak ada latihan ketenteraan khidmat negara seperti Singapura dan juga negara lain yang wajib disertai.

Lebih manis pada Majlis Perbarisan Penutup Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Siri 1/2010 di Kem Rasah di Seremban, Negeri Sembilan pada 25 Mei tahun lalu Khairy diumumkan sebagai Peserta Kursus Terbaik Keseluruhan dan Terbaik Akademik.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, negara memerlukan kira-kira 43,000 lagi askar simpanan dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai tambahan kepada 57,000 anggota perkhidmatan itu yang sedia ada bagi memantapkan barisan pertahanan kedua negara.

“Jumlah itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan nisbah seorang anggota simpanan bagi setiap anggota tetap dalam perkhidmatan ATM,” ujarnya.

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Khairy Jamaluddin Sertai Askar Wataniah - Ahli Paracut Statik By Mohd Rohaizad. Published: 25.5.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...