CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Kisah Daphne Iking Masuk Islam Sebagai Dahlia Abdullah


Betul ke Daphne Iking masuk Islam dan nama sebagai Dahlia Abdullah? Ya, tahniah diucapkan kerana diberikan hidayah daripada Allah S.W.T., semoga Dahlia dapat menjalani sebagai muslimah solehah suatu hari nanti. Gelora yang melanda aktres dan pengacara popular Daphne Eleanor Iking bukan dugaan biasa, malah ia merupakan cubaan terbesar pernah dialami Daphne yang kini bergelar seorang muslimah memegang nama Dahlia.

Usai kes mahkamah membabitkan dirinya dengan Pengarah Urusan Adidas Malaysia, Darren Choy Khin Ming serta bekas suaminya, Ryan Chong Yiing Yih Mac lalu, secara automatik melepaskan Daphne daripada terus dibelenggu rasa bersalah dan diburu cerita lampau yang mengganggu kelancaran cerita baharu kehidupannya.

Siapa tahu Daphne yang dahulu penuh dengan kontroversi berhubung status puteri sulungnya, Isobel Daniella Iking, 4, kini sudah mampu mengecap ketenangan selepas sah memeluk Islam Disember tahun lalu.

Tempoh yang singkat itu digunakan sebaik-baiknya oleh anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu untuk mendekatkan diri dengan pegangan baru pilihannya selepas mengahwini Azmi Abdul Rahman, 42, Januari lalu.

“Alhamdulillah kini saya sudah hafal surah al-Fatihah dan boleh mendirikan solat tanpa bantuan suami. Setiap hari saya akan membaca buku panduan solat dan jika ada yang saya tidak faham saya akan merujuk kepada suami saya.

“Ia bukan perkara mudah terutama saudara baru seperti saya untuk menerima terus ajaran baru dalam hidup tetapi setiap kali saya solat saya dapat rasa diri saya semakin dekat dengan Islam.

“Walaupun sibuk dengan kerja tetapi saya akan pastikan solat lima waktu ditunaikan dan sekiranya saya gagal mengerjakan solat, jiwa saya akan berasa amat kosong seperti ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hari saya,” akui pengacara rancangan Bella di ntv7 itu dengan bersungguh-sungguh.

 Gambar DAPHNE IKING atau Dahlia kini bahagia menjalani kehidupan baharu sebagai Islam

Cabaran bergelar muslimah

Namun keikhlasan wanita berusia 32 tahun itu menyelami Islam turut dicabar dengan pelbagai tohmahan dan cacian sesetengah pihak yang mahukan dirinya berubah secara total lengkap mengenakan tudung dan memakai pakaian menutup aurat.

“Saya faham sebagai seorang wanita Muslim saya perlu menutup aurat tetapi saya perlukan masa untuk semua itu dan biarlah saya lakukannya dengan jujur dan bukan kerana terpaksa.

“Insya-Allah sedikit demi sedikit saya akan memperbaiki diri agar menjadi lebih baik di sisi Allah dan harus diingatkan saya masih lagi dalam proses mengenali agama baharu saya,” jujur sahaja jawapannya.

Pelbagai reaksi pasif diterima Daphne di laman sosialnya yang menuntut dirinya menukar penampilan sinonim seksinya kepada imej yang lebih sopan malah ada segelintir mempersoalkan keputusan nekad Daphne menukar agama asalnya.

Tidak cepat melatah dengan kata-kata orang, Daphne yang sedang hamil empat bulan berasa tidak perlu menjelaskan isu tersebut kepada orang ramai kerana dia perlu menjaga hati ramai pihak dan tidak mahu menyinggung perasaan sesiapa terutama mereka yang dekat di hatinya.

“Menjadi Dahlia tidak bermakna saya perlu melupakan terus siapa Daphne yang dahulu. Kedua-duanya masih insan serupa cuma kini saya lebih berhati-hati dengan apa yang ingin saya lakukan kerana setiap pergerakan saya diperhatikan ramai orang,” katanya tanpa berselindung.

Ditanya penerimaan keluarganya berhubung statusnya sebagai seorang muslimah, Daphne memberitahu, tidak mudah untuk meyakinkan kedua ibu bapanya itu bagi memahami keputusan yang dibuatnya.

Pemenang Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) itu mengakui dia perlu menyimpan dahulu kebenaran itu buat seketika dan menunggu waktu sesuai membongkarkan berita itu kepada keluarganya.

“Pada awalnya memang sukar untuk mereka menerima namun lama-kelamaan mereka sudah boleh menerima kenyataan itu.

“Tetapi, walaupun fahaman kami tidak lagi sama ia tidak bermakna saya menolak terus adat dan tradisi yang pernah saya jalani kerana saya juga perlu menghormati pegangan keluarga saya.

“Saya sering mengingatkan ibu bapa saya agar tidak berusaha menukar cara hidup mereka semata-mata demi saya kerana walau apa pun terjadi mereka tetap ibu bapa saya sama seperti dahulu,” ucap Daphne lagi.

 Gambar DAPHNE dan suaminya, Azmi teruja menanti kehadiran cahaya mata pertama mereka.

Isobel dan adik baharu

Melihatkan Isobel yang semakin membesar membuatkan Daphne berasa lapang malah tidak tertanam rasa resah terhadap anaknya itu kerana anak kecil itu mudah dibimbing.

Tidak lama lagi Isobel bakal menerima adik baharu dan Daphne bersyukur kerana bakal dikurniakan cahaya mata kedua oleh Allah.

Detik silam tatkala mengandungkan Isobel dilalui aktres filem Belukar itu tanpa masalah namun berbeza pula dengan kandungan keduanya kali ini yang sering membuatkan dirinya jatuh sakit dan mengalami simptom normal orang mengandung.

“Ketika mengandung anak pertama, saya rasa biasa sahaja tetapi kali ini saya kerap pening kepala dan muntah-muntah dan suami saya menjadi mangsa melayan kerenah-kerenah pelik saya.

“Pernah satu malam lebih kurang pukul 3 pagi saya terjaga dan mengidam untuk makan laksa Penang. Saya tidak mahu laksa di tempat lain tetapi tekak saya menginginkan laksa yang memang dari Penang.

“Memandangkan awal pagi esok saya perlu bekerja jadi suami saya hanya membelikan nasi kandar sebagai pengganti laksa tersebut dan saya makan satu sudu sahaja kemudian saya sambung tidur,” cerita Daphne dengan tawa yang tidak ditahan lagi apabila mengingat kembali momen lucu itu.

Jika dilihat kepada simptom yang dialami Daphne, ramai orang memberitahunya dia bakal menimang cahaya mata lelaki namun Daphne memilih untuk tidak mempercayai jawapan teka-teki orang lagi selepas pengalaman ditempuh ketika mengandungkan Isobel yang sebelum itu dikatakan sebagai bayi lelaki.

Menerima sahaja apa jua jantina bayi yang bakal dilahirkan, dia tidak dapat menolak keinginannya untuk memiliki anak perempuan kedua kerana baginya dia lebih mudah menguruskan anak perempuan berbanding lelaki.

“Biarlah saya tahu apabila saya melahirkan bayi ini nanti tetapi naluri saya kuat merasakan saya akan mendapat anak perempuan,” ujar Daphne dengan senyuman penuh makna.

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Kisah Daphne Iking Masuk Islam Sebagai Dahlia Abdullah By Mohd Rohaizad. Published: 26.5.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...