CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Lagenda Budak Setan 2, Fazura Diganti Maya Karin Sebagai Katerina


 
Filem Lagenda Budak Setan (LBS) sebelum ini mengetengahkan aktres Fazura sebagai Katerina (Kat), namun untuk sekuelnya terbaru Lagenda Budak Setan 2, peranan tersebut bakal menampilkan Maya Karin sebagai pengganti Katerina dalam filem tersebut.
 
Optimis bahawa mood dan penghayatan khalayak terhadap sekuel filem LBS itu tidak akan lari, pengarahnya, Sharad Sharan yakin percaturannya mengetengahkan Maya kali ini akan berjaya.

"Dalam sekuel LBS kali ini, kita akan tampilkan Maya Karin menggantikan Fazura untuk watak Katerina atau Kat. Bukannya kita tak mahu kekalkan Fazura, tapi kita yakin pemilihan Maya Karin memang lebih kena dengan watak tersebut. Sepatutnya memang Maya yang bawa watak Kat pada musim lalu, tapi dia sibuk. Sebab itulah kita pilih Fazura.

"Jadi, untuk kali ini dia mempunyai masa dan saya sangat gembira bila dia memberitahu bahawa dia dapat terlibat dalam produksi LBS. Lagipun, dia memang perfect untuk membawa watak Kat," katanya kepada murai.com.my.

Menyedari harapan dan penantian khalayak pada sekuel LBS ini terlalu tinggi, penulis novel merangkap penulis skripnya Ahadiat Akashah berkata, skrip untuk sekuel filem tersebut terpaksa dirombak lebih 10 untuk mendapatkan hasil yang terbaik.

"Peminat mahu yang lebih baik daripada yang pertama. Jadi, kita kena pastinya skripnya yang terbaik. Takut juga dengan persepsi daripada peminat novel ini nanti. Jadi, segala kesilapan yang lalu kita cuba baiki untuk memastikan jalan ceritanya kali ini dapat dipaparkan dengan lebih indah.

"Pembaca novel ini juga ada yang terlalu obses dan ada yang hafal dialog LBS. Jadi, di sini, sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa novel dan filem adalah dua perkara yang berbeza," katanya.

Ditanya mengenai LBS2: Katerina berbanding yang lalu, kata Ahadiat Akashah, sekuel LBS kali ini akan menampilkan lebih banyak lagi cabaran, permainan emosi serta konflik cinta yang dilalui oleh peranan utamanya.

"LBS2: Katerina ini tentunya fokus lebih pada Katerina tapi pada masa yang sama, Kasyah juga mempunyai konflik tersendiri yang perlu diselesaikan. Lebih banyak cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi dalam percintaan mereka. Jadi nantikanlah LBS2," jelasnya.

Sementara itu bagi Maya Karin pula, menggantikan watak Fazura dalam LBS2: Katerina bukanlah satu masalah utama.

Memandangkan pihak penerbit dan pengarah sendiri yang mahukan dia membawakan watak itu, maka sebagai pelakon dia perlu menjayakan watak itu dengan sebaik mungkin.

"Tak timbul isu ganti Fazura, sebaliknya saya juga menghadiri ujibakat dan telah terpilih. Kalau ada yang persoalkan mengapa pihak penerbit dan pengarah mahu mengantikan saya dengan Fazura, sebagai pelakon saya rasa itu hak mereka. Tapi saya sendiri mengakui suka dengan watak Kat itu kerana Kat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri," katanya.

Malah, jujur aktres jelita ini memberitahu, jalan cerita LBS2 yang menarik membuatkan dirinya menerima tawaran tersebut.

"Saya dah baca novel LBS dan memang jalan ceritanya menarik. Kat ada keistimewaannya dan saya suka dengan watak tersebut. Peluang untuk terlibat dalam LBS2 adalah satu pengalaman yang indah buat saya," jelasnya yang masih lagi menjalani penggambaran untuk filem tersebut.

Diterbitkan oleh Tarantella Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Shaw Sdn Bhd, LBS2: Katerina membariskan pelakon seperti Farid Kamil, Azri Iskandar, Marissa Yasmin, Zulkifli Ismail dan ramai lagi. (Murai)

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Lagenda Budak Setan 2,  Fazura Diganti Maya Karin Sebagai Katerina By Mohd Rohaizad. Published: 5.5.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...