CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Rowena, Juliana & Angela Foong Cipta Nama Fesyen Di Australia


3 adik-beradik dari Malaysia mencipta nama mereka di dalam dunia fesyen di negara Australia. Berkat ketabahan dan keberanian mengharungi dunia fesyen yang begitu tinggi daya saingannya di Australia, kini tiga wanita adik-beradik kelahiran Malaysia berjaya membuka cawangan kedua butik mereka di Australia.
 
Rowena, Juliana dan Angela Foong menceburi dunia yang amat mereka minati itu secara komersil dengan melancarkan jenama "High Tea With Mrs Woo" di sebuah butik di Newcastle, dua jam perjalanan dengan kereta di utara Sydney.


Berkat ketabahan dan keberanian mengharungi dunia fesyen yang begitu tinggi daya saingannya di Australia, kini tiga wanita adik-beradik kelahiran Malaysia (dari kiri), Rowena, Juliana dan Angela Foong berjaya membuka cawangan kedua butik mereka di Melbourne, negara tersebut.

Jenama itu tercipta daripada himpunan kenangan mereka semasa tinggal di Kuala Lumpur dan keunikan fesyen ciptaan tiga beradik ini melayakkan mereka menerima anugerah pereka muda, mendapat liputan dalam media nasional dan antarabangsa serta diperagakan di pentas fesyen antarabangsa dan beberapa butik di Australia, New Zealand dan Eropah.

Bagaimanapun, pembukaan butik kedua mereka di Sydney merupakan pencapaian yang amat bermakna bagi tiga beradik berkenaan, yang tidak gentar menghadapi cabaran dalam industri yang telah mengorbankan banyak mangsa, termasuk akibat krisis kewangan yang melanda dunia suatu ketika dulu.

"Perniagaan runcit mengalami detik-detik yang amat getir dalam tempoh enam bulan hingga sembilan bulan lepas, hingga menyebabkan banyak perniagaan terpaksa mengecilkan operasi masing-masing atau terus gulung tikar," kata Rowena.

"Kami bertiga, dengan bantuan beberapa orang petugas kami, cuba untuk bertahan dengan sedapat mungkin untuk mengurus butik ini, mengembangkanperniagaan melalui laman web serta menghasilkan rekaan dan jahitan sepanjang tempoh yang mencabar itu," katanya.

Butik kedua mereka terletak di sebuah bangunan lama yang cantik di Oxford Street -- sebuah kawasan yang terkenal sebagai pusat fesyen di Paddington, Sydney.

"Memang sukar untuk menyewa kedai di kawasan berkenaan dan oleh itu, kami hampir tidak percaya apabila dapat menyewa sebuah kedai yang mengingatkan kami kepada kedai datuk kami di Gemas, Malaysia suatu ketika dulu -- kedai yang mempunyai tangga dan lantai kayu berwarna gelap yang mengimbau kembali kenangan kami pada zaman kanak-kanak. Kedai ini macam sebuah emporium.

"Corak rekaan pakaian kami menampilkan citra kedai ini, di samping kain dengan corak yang lazim terdapat pada kain kapas tenunan tangan Australia, kami juga menjual barangan seramik buatan tangan, barang kemas, alatulis, papan batu dan barangan kayu yang mengekalkan seni tradisional.

"Kami memilih barangan yang mencerminkan tekstur, imbauan kisah lampau serta kebijaksanaan nenek moyang kami," katanya.

Rowena, Juliana dan Angela menghiasi sendiri butik mereka dengan bantuan rakan kongsi mereka -- seorang pereka bentuk industri, seorang tukang logam dan seorang arkitek.

Sebuah bangku bengkel yang antik diletakkan di tengah-tengah rak keluli bersalut enamel yang kelihatan seperti sebuah tangga tinggi untuk naik ke siling.

"Sebuah dapur vintaj daripada kayu pokok sedar dipotong dua dan disambung pada pantri dapur Era Kemelesetan; sebuah meja sekolah lama juga dipotong dua dan disambung pada meja solek vintaj; sebuah meja lilin panjang buatan tangan dipasang dengan kaki keluli yang kelihatan berkarat; sebuah dinding kenangan mengabadikan landskap yang banyak memberi ilham kepada kami dan bingkai gambar yang antik yang memuatkan pakaian rekaan kami, terdapat di sini.

"Yang lama menjadi baru kembali. Kami abadikan kenangan silam kami dalam suatu bentuk persembahan yang menampilkan ciri-ciri semasa, relevan dan bermakna," kata Rowena.

Tiga beradik itu juga telah mengadakan pameran dan menerbitkan satu judul buku dan menerima geran perniagaan kira-kira A$50,000 (kira-kira RM158,000).

Mereka turut memberi ceramah pada bengkel, menjadi mentor bagi projek reka cipta, mengambil bahagian dalam pasaran kraf dan reka bentuk serta mengadakan pameran dan persembahan di kedai mereka.

Segalanya bermula di Kuala Lumpur, di mana tiga wanita ini belajar menghasilkan pakaian dan sesekali bergaya dan mengambil bahagian pada majlisjamuan petang.

"Walaupun ibu bapa kami membawa kami ke Australia dengan harapan kami menjadi peguam dan doktor, bukan tukang jahit, tapi akhirnya kami terlibat juga dengan dunia pakaian," kata Rowena.

Selepas tiba di Newcastle pada 1998, Rowena dan Juliana mengikuti pengajian dalam bidang reka bentuk grafik dan komunikasi visual, manakala Angela pula memperoleh ijazah sarjana muda dalam jurusan ekonomi dan perdagangan.

Ketika masih menuntut pada 2001, mereka membeli sebuah perniagaan pakaian terpakai daripada seorang kenalan.

"Kami hanya mahu menjadikannya suatu perniagaan secara sambilan atau sebagai hobi," kata Rowena.

"Bagaimanapun, tanggungan mengendalikan perniagaan menjadi begitu ketara. Kami perlu jelaskan bil. Ia sungguh memeritkan, tapi pada waktu yang sama, sungguh menyeronokkan. Oleh itu, kami fikir, kami perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan ini mendorong kami melancarkan label sendiri," katanya.

Itu pada 2004. Pada tahun berikutnya, mereka memenangi anugerah Mercedes Benz Start Up untuk pereka muda. Ini dikuti dengan pameran sulung mereka pada Minggu Fesyen Australia di Sydney dan Melbourne, sebelum menyertai Minggu Fesyen Shanghai dan Kongresshaus Zurich.

Reka bentuk Mrs Woo, yang turut menggabungkan barangan kraf, menjadi bahan pameran di Victoria & Albert Museum, London dan muzium, galeri serta pameran reka cipta di Australia, Tokyo dan Switzerland.

Program televisyen dan pelbagai penerbitan Australia serta negara lain, termasuk majalah Time (Asia), turut memuatkan cerita tentang tiga beradik istimewa ini. (Bernama)

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Rowena, Juliana & Angela Foong Cipta Nama Fesyen Di Australia By Mohd Rohaizad. Published: 15.5.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...