CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Sitkom 'S.Y.O.K' Barisi Pelawak 'Raja Lawak' Di TV1


Program lawak terbaru yang bakal menemui penonton, sitkom muzikal terbaru S.Y.O.K yang bakal bersiaran di saluran TV1 pada 27 Mei ini tidak menumpang populariti pelawak-pelawak muda yang dicungkil daripada program Raja Lawak (RL) Astro.
 
 
 Barisan pelakon dan krew penerbitan sitkom muzikal S.Y.O.K yang bakal bersiaran bermula 27 Mei ini di TV1.
 
Penerbitnya Nor Khuzaimah Abd. Aziz atau Oja berkata memandangkan S.Y.O.K lebih menyasarkan kepada kelompok penonton muda, maka pemilihan barisan pelawak muda adalah perlu bagi mengimbangi keperluan sitkom berkenaan.

"Kami hasilkan sitkom ini untuk menarik perhatian golongan muda supaya menonton program di RTM. Sebab itu, kami perlu seimbangkan barisan pelawak lama dan baru yang mewarnai sitkom ini.


 Penerbit Nor Khuzaimah Abdul Aziz (Oja)

"Kebetulan pula, majoriti pelawak muda yang aktif pada hari ini lahir daripada program RL. Mungkin sebab itu ada yang menganggap seolah-olah kami ingin menumpang populariti mereka," katanya selepas pratonton sitkom itu di Wisma TV, Angkasapuri, di sini, Rabu.

Tambah Oja, pemilihan artis-artis yang popular menerusi rancangan Raja Lawak seperti Jepp Sepah, Nabil, Alex, Johan dalam sitkom tersebut bukan satu isu bagi pihak mereka.

"Kebetulan nama-nama ini sedang 'digilai' ramai dan penonton mahu menyaksikan aksi jenaka mereka. Bagi saya, ia bukan satu isu pun kami menumpang artis-artis Astro atau sebaliknya.

"Pemilihan mereka adalah berdasarkan kesesuaian masing-masing mengikut watak-watak dalam sitkom S.Y.O.K," terangnya.

Lebih menarik lagi, skrip sitkom tersebut dihasilkan mengikut barisan pelakon yang dipilih bagi menjayakan sesuatu watak itu.

"Yang menariknya, skrip sitkom ini dihasilkan mengikut pelakon yang dipilih. Contohnya, untuk watak Harun Salim Bachik, kami hasilkan skrip selepas dia mengesahkan untuk terlibat dalam sitkom ini.

"Kami mahu cari kelainan agar setiap watak dalam sitkom ini terhasil betul-betul mengikut kriteria dan karakter pelakon-pelakon yang dipilih itu," katanya.


 Alex (Raja Lawak 4) adalah antara pelawak muda yang terlibat dalam sitkom S.Y.O.K
Sitkom yang tercetus ekoran sambutan hangat terhadap muzikal Syoknya Raya pada Hari Raya tahun lalu itu dirakamkan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Senawang, Negeri Sembilan pada bulan Februari lalu.

Selain barisan pelawak muda, S.Y.O.K turut menampilkan pelakon komedi berpengalaman termasuk AC Mizal, Saiful Apek, A.R Badul, Kenchana Devi, Kartina Aziz, Abon dan Adibah Noor.

S.Y.O.K yang bermaksud Sempoi Yakin Optimis dan Kelakar itu akan mula bersiaran pada 27 Mei ini bermula pukul 9 malam. (MStar)

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Sitkom 'S.Y.O.K' Barisi Pelawak 'Raja Lawak' Di TV1 By Mohd Rohaizad. Published: 18.5.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...