CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Gabba Gabba: Popular Lagu LAMBAT LAYU - Drama Cita Dan Cinta


Tahukah anda kumpulan Gabba Gabba? Yang Popular Dengan Lagu LAMBAT LAYU Dalam Drama Cita Dan Cinta?

Tentu bagi para peminat setia drama bersiri Cita dan Cinta lakonan Sharifah Amani, Beto Kusyairy, Nadia Aqilah yang kini sedang rancak bersiaran di saluran TV9, pastinya mereka akan turut dihiburkan dengan lagu berjudul Lambat Layu.

Lagu tersebut telah dinyanyikan oleh sebuah kumpulan indie yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabba Gabba. Tidak dinafikan bahawa menerusi lagu itu menjadikan mereka kini semakin dikenali ramai.

Bagi kebanyakan peminat muzik di negara ini, tentu ada yang beranggapan kumpulan tersebut baru sahaja ditubuhkan. Namun ia sebenarnya sudah wujud sejak pertengahan tahun lalu dan hanya pada tahun ini mereka mula aktif membuat pertunjukan.

Anggota Kumpulan Gabba Gabba

Gabba Gabba dianggotai oleh enam orang anak muda iaitu Tengku Shafiz-Rullah (Ash), Tengku Daud Shah (Daud), Muhd Ridzuan Mohd Ali (Wan Jah), Tengku Indra As Syafiee (Indra), Mohd Khairul Annuar (An) dan Ku Afzainizam Ku Majid (Paku).

Mengenai keunikan yang terdapat pada nama kumpulan tersebut, Ash selaku vokalis utama menjelaskan nama Gabba Gabba diperolehi adalah melalui inspirasi kumpulan punk terkenal, The Ramones.

Kumpulan Gabba Gabba
 Gambar Kumpulan Gabba Gabba - Muzik Punk Malaysia

"Sebenarnya kami sangat meminati kumpulan The Ramones yang memang cukup popular di Amerika Syarikat, manakala Gabba Gabba pula adalah salah satu watak kartun yang diminati kumpulan tersebut.

"Menariknya, terdapat sebuah lagu mereka iaitu berjudul Pinhead yang mula dinyanyikan sekitar tahun 2007 yang menunjukkan kegilaan mereka kepada watak kartun tersebut," jelasnya.

Tambah Ash lagi, apabila kumpulan itu ditubuhkan mereka berenam telah sepakat untuk membawakan genre muzik yang dikenali sebagai proto punk dan banyak membuat persembahan gig di sekitar Kuala Lumpur.

Gabba Gabba Perjuang Genre Muzik Punk

Jelasnya, biarpun genre muzik tersebut masih agak asing, namun ia sebenarnya hampir sama dengan muzik punk, namun ia tidak terlalu keras untuk disesuaikan dengan peminat muzik di negara ini.

Namun, Ash sendiri tidak menafikan bahawa kumpulan berkenaan turut berdepan dengan cabaran terutamanya untuk memperkenalkan diri mereka dan muzik yang dibawa kepada khalayak.

Gabba Gabba Punk Malaysia
 Gambar Kumpulan Gabba Gabba Konsert Persembahan

"Setakat ini kami belum merancang untuk menerbitkan album dan lebih berminat menghasilkan single terlebih dahulu serta mahu lebih kerap membuat persembahan agar peminat dapat mengenali kami dengan lebih dekat.
"Untuk single yang dihasilkan pula, kami akan mempromosikannya dengan cara yang lebih berkesan iaitu menerusi Internet seperti di Facebook atau pun YouTube," ujarnya.

Selain mahu memberi sepenuh komitmen terhadap kumpulannya itu, jelas Ash, buat masa ini dia sedang berusaha untuk memantapkan lagi vokalnya.

"Sebelum ini saya adalah pemain gitar, tetapi ketika kumpulan ini ditubuhkan semua ahli telah sepakat untuk memilih saya sebagai vokalis," ujarnya.

Gabba Gabba Ditubuhkan Selepas Bau Dibubar

Sebelum Gabba Gabba ditubuhkan, kumpulan berkenaan sebenarnya terlebih dahulu dikenali sebagai Bau yang popular menerusi lagu-lagu seperti Warkah dan Keranamu beberapa tahun yang lalu.

Selain Ash yang merupakan pengasas kepada kumpulan Bau, An juga adalah salah seorang anggota ahli kumpulan berkenaan yang kini terus kekal bersama Gabba Gabba.

Apabila ditanya mengenai status tentang kumpulan yang ditubuhkan sekitar tahun 2002 itu, Ash menjelaskan bahawa boleh dikatakan Bau sebenarnya sudah dibubarkan.

"Tidak dinafikan kumpulan lama saya itu pernah mendapat perhatian sebelum ini dan ada lagu-lagu yang menjadi siulan ramai seperti lagu Warkah, tetapi akhirnya ia terpaksa dibubarkan kerana wujud masalah dalaman.

"Namun itu semua cerita lama dan kini saya mahu memberi lebih tumpuan kepada Gabba Gabba dan saya berharap agar peminat dapat menerima kehadiran kami dalam industri ini," ujarnya.

Ditanya mengenai kemunculan banyak kumpulan indie ketika ini, Ash menganggap ia merupakan satu perkembangan yang sihat dan jelas menunjukkan bahawa Malaysia sebenarnya tidak pernah ketandusan pemuzik berbakat.

Menurutnya lagi, kemunculan kumpulan indie dilihat memeriahkan lagi industri muzik tempatan, apatah lagi kebanyakannya berkemampuan untuk menghasilkan lagu-lagu sendiri.

"Sebenarnya setiap band indie di negara ini saling mengenali antara satu sama lain dan kami menganggap persaingan yang wujud ini adalah sebuah persaingan yang sihat.

"Malah, kami bersedia untuk menjalinkan kolaborasi dengan mana-mana kumpulan indie yang lain seperti dilakukan API yang popular menerusi lagu Pelita," ujarnya.

Tengku Shafiz-Rullah atau Ash Utamakan Anak

Berbanding dengan ahli kumpulan yang lain, Ash sememangnya cukup dikenali memandangkan dia adalah merupakan bekas suami kepada pengacara baru Melodi, Dira Abu Zahar dan bekas peserta rancangan Sehati Berdansa pada musim kedua.

Mendirikan rumah tangga empat tahun lalu, namun usia perkahwinan mereka ternyata tidak panjang apabila kedua-duanya mengambil keputusan untuk bercerai pada tahun lalu.

Sepanjang perkahwinan, mereka telah dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Tengku Anggun Deandra yang kini sudah berusia dua tahun.

Ash Gabba Gabba
 Gambar Ash - Bekas Suami Dira Abu Zahar (Hos Melodi)

Ketika ditanya pandangannya mengenai kerjaya isterinya sekarang yang kini popular menerusi rancangan Melodi dan dikatakan sudah menemui pengganti, ternyata Ash enggan mengulas panjang mengenai perkara tersebut.

"Ketika ini saya hanya lebih berminat untuk bercerita tentang kerjaya serta perjalanan karier dan seboleh-bolehnya akan cuba elak untuk mengulas mengenai kehidupan peribadi diri saya dan bekas isteri.

"Apa yang boleh saya katakan, kini saya mahu memberi keutamaan dan tumpuan sepenuhnya untuk membesarkan anak perempuan kami dan saya menganggap apa yang berlaku terhadap kehidupan lalu dapat memberi pengajaran yang berguna," jelasnya.


P/s: Banyak kumpulan indie ditubuhkan bak cendawan lepas hujan. Penulis tidak pasti sampai bila kumpulan Gabba Gabba akan bertahan lama. Namun, Gabba Gabba popular dengan lagu hit mereka Lambat Layu yang sedang dimainkan dalam drama Cita dan Cinta. Oh ya, bekas isteri Ash iaitu Dira Abu Zahar akan berkahwin dengan Helmi Yusof tidak lama lagi.

~ Gabba Gabba: Popular Lagu LAMBAT LAYU - Drama Cita Dan Cinta ~

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Gabba Gabba: Popular Lagu LAMBAT LAYU - Drama Cita Dan Cinta By Mohd Rohaizad. Published: 14.6.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...