CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Kisah Usop Wilcha Pondan Popular Yang Terbakor


Tahukah Anda Kisah Usop Wilcha Pondan Popular Yang Kini Semakin Terbakor?

Siapa tidak tahu dialog ‘kita bakor, kita bakor’ sungguh luar biasa impaknya. Kalau tidak keramat sekali pun, barangkali itulah dialog daripada filem Melayu abad ini yang paling banyak terletus daripada bibir ramai. Bukan untuk bakar rumah Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah sahaja, bahkan kepada penonton Hantu Kak Limah Balik Rumah, istilah itu menjadi ayat jenaka masyarakat mutakhir ini.

Pantas sahaja si lembut berkerusi roda, Usop Wilcha atau nama pentasnya Shy8, menjadi sebutan. Tidak selesai di situ, sekali lagi dia mencipta fenomena.

Usop Wilcha Berlakon Filem Zombie Kampung Pisang, Moon & Jin Pakai Toncit

Selain perkembangan lebih mengancam dalam filem sekuel Zombie Kampung Pisang, berjudul Hussien, Moon dan Jin Pakai Toncit yang masih disimpan untuk tayangan umum, Usop disunting stesen radio Hot FM. Dia menjadi ayam tambatan baharu stesen itu dalam persaingan menawan telinga pendengar.

Ketika disapa angka 46 tahun, Shy8 diberi tugas berkolaborasi bersama barisan penyampai popular seperti Fara Fauzana, Faizal Ismail dan AG dalam Hot Fm Am Krew. Secara rasmi, komitmennya di konti radio bermula sejak 16 Jun 2011, Khamis lalu.

Lonjakan kepanasan Shy8 sedang memuncak namun terbit persoalan, adakah tiada kegusaran di benak anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu, kalau-kalau bakat yang sedang diaplikasi, kelak hilang aura di sebalik populariti.

“Apa yang saya peroleh hari ini bukan sesuatu yang saya kejar selama ini. Sungguh, saya tidak pernah kerja keras untuk jadi popular, mungkin ini semua ibarat angin lalu. Saya tak tahu.

“Kita tak perlu takut kepada kejatuhan, sebaliknya Allah yang menentukan. Saya anggap ini ketentuan Allah, saya diberi peluang sebegini, tentu ada sebabnya.

“Cuma saya risau, pasti ada sebab kenapa saya diberikan peluang sebegini, takut akan dipersoalkan Allah, apa sumbangan saya nanti. Jadi saya kena bersikap positif, jatuh atau sakit, kita kena positif,” tuturnya persis ahli falsafah.

Usop Wilcha Mahu Berhenti Jadi Anak Seni

Pernah mahu berhenti daripada menjadi anak seni, penjawat tugas Pengurus Komunikasi Korporat, Tanjung Offshore Bhd. itu memberitahu: “Saya fikir karier seni saya sudah berada di penghujung.

“Saya sendiri pernah mahu berhenti daripada menjadi anak seni. Saya hanya penyanyi dan tiada minat dalam lakonan, tapi pengarah filem, Mamat Khalid yang meyakinkan saya supaya berlakon.

“Sama hal juga dengan tawaran Hot FM ini. Apabila orang luar yang nampak saya, pasti ada alasan sementelah saya memang berminat mahu jadi penyampai radio. Ia ibarat pucuk dicita ulam mendatang,” ujar Shy8.

Kurang pasti tentang karakter yang harus dibawa sepanjang berada di konti, Shy8 masih menunggu respons. Dia menerima apa jua kehendak pendengar terhadap dirinya.

Usop Wilcha Faizal Fara Hot FM
 Gambar Usop Wilcha, Faizal Ismail dan Fara Fauzana Hot FM

“Saya ikut sahaja keselesaan pendengar, panggillah saya Shy8 atau Usop. Dalam konti, saya tidak terlibat dengan bahagian teknikal, cuma diminta menyuntik elemen komedi.

“Mungkin ada jurang generasi, maklumlah saya ini generasi X, mereka (Fara, Faizal dan AG), generasi Y, tapi jurang generasi itu yang akan memeriahkan konti,” katanya yang tidak mahu dicop penerus tradisi pelawak di konti seperti yang berlaku di stesen radio lain.

“Saya bukan pelawak, saya hanya pelakon yang membawakan watak komedi. Saya cuma ada jiwa komedi dan suka bergurau.

“Sama ada saya akan memberi kebaikan atau memburukkan situasi, saya tidak berani janji sebab saya hanya menyelit di tengah mereka yang lain,” katanya.

Usop Wilcha Mengakui Album Tidak Laku

Bersulam-sulam antara karakter Usop dan Shy8 sepanjang pertemuan, pemilik nama Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalulail itu bertegas, dia harus pandai mengadun imej, biar kena dengan situasi.

Dia serius jika berurusan rasmi melibatkan kerja-kerja komunikasi yang dipikul, cuma apabila kerap disapa Usop, maka karakter lelaki lembut itu secara automatik terbias ke wajahnya.

“Ciri-ciri lembut Usop Wilcha itu kombinasi daripada watak dalam Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

“Saya buat keputusan melakukan sesuatu yang berlawanan dengan karakter sebenar saya, Shy8, lelaki budiman, yang pernah ada album tapi tak laku.

Usop Wilcha Pondan Popular
 Gambar Usop Wilcha atau Syed Mohamad Asri Syed Osman Jamalulail

“Mulanya saya berdilema juga untuk bawa watak begitu. Perasaan takut ditolak keluarga dan rakan-rakan itu ada, tapi bila sudah popular, saya ada platform untuk bertemu media dan menjelaskan situasi sebenar,” katanya yang turut mendapat izin isteri dan keluarga untuk pembawaan Usop, sehabis baik.

Sambung bapa kepada Syed Caliph Umar, 10 bulan dan suami kepada Noorafiza Abdul Aziz, 28, apa yang berlaku ke atasnya, ada rahsia dan hikmah yang besar.

Menyelak sedikit kisah silamnya, Shy8 mengakui, hidupnya pernah terkontang-kanting mencari arah selepas satu-satunya album nyanyiannya, Terasing Di Bumi Sendiri tidak dipedulikan umum.

“Saya kecewa lalu balik kampung pada tahun 1998. Sekitar dua tahun juga saya tak tahu apa yang saya lakukan.

“Kemudian saya dekatkan diri dengan agama. Dari situ, saya mula berjinak-jinak dengan kelab-kelab bukan kerajaan dan bertemu dengan masyarakat. Sehinggalah saya kembali berkeyakinan untuk pulang semula bekerja di ibu kota,” katanya.

Usop Wilcha Kahwin Lewat

Begitu juga dengan soal kelewatan berkahwin, itu semua berpunca daripada kegusarannya yang tidak bersedia berdepan hidup yang lebih besar.

“Apabila saya buka diri untuk berkahwin, Tuhan permudahkan jalan hidup saya.

“Nasihat saya kepada sesiapa yang takut untuk berkahwin, segerakanlah kerana Tuhan itu tidak akan menganiayai hambanya, asalkan kita ikhlas,” ujarnya.

Bahagia mampu bergelar bapa, kehadiran Caliph juga mengeratkan lagi hubungannya suami isteri.

Mempunyai anak juga memberi satu kekuatan kepada Shy8 untuk bekerja kuat mencari rezeki. Percaya kata hati, dia yakin Tuhan ada alasan kenapa martabatnya diangkat untuk dikenali pada usia selewat ini, ketika sudah berkeluarga dan mempunyai seorang anak.

“Kalaulah semua ini datang ketika saya di usia muda, mungkin saya tidak berfikiran seperti hari ini.

“Sekarang saya ada nilai seorang lelaki yang sudah berkeluarga.

“Jadi pergerakan lebih tersusun dan matang. Insya-Allah, Hot FM tidak silap menyunting saya. Saya boleh bercakap dan kongsi banyak benda hasil perjalanan hidup selama ini,” katanya bersaksikan Fara dan Faizal yang berada di sesi fotografi Selasa lalu. -Kosmo.


P/s: Penulis tidak pasti sampai bila Usop Wilcha yang telah menjadi pondan popular yang terbakor akan dapat mengekalkan popularitinya itu. Namun, Usop Wilcha mengambil tindakan yang bijak apabila menyertai Hot FM yang penulis jangka akan memanjangkan lagi gaya kita bakor ini di konti radio.

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Kisah Usop Wilcha Pondan Popular Yang Terbakor By Mohd Rohaizad. Published: 19.6.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...