CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

New Delhi Kota Warisan Empayar Mughal Di India


New Delhi Kota Warisan Empayar Mughal Di India

Negara India memiliki segala-galanya yang diperlukan sama ada anda seorang pelancong berkelas eksekutif yang gemar berbelanja ataupun seorang pengembara yang ingin menyelongkar keindahan kota yang sudah lama ditelan zaman.

Kehebatan India bukan sekadar negara ketujuh terbesar di dunia tetapi ia juga menyimpan lapisan sejarah yang cukup tebal, seusia dengan kota-kota purba seperti Istanbul dan Damsyik.

Salah satu daripada destinasi terbaik untuk menyelami tamadun yang bermula sejak lebih 5,000 tahun lalu itu adalah New Delhi, ibu negara yang terletak di utara negara itu.

Salah satu daripada khazanah terulung yang boleh dikesan di Delhi adalah warisan kerajaan Mughal yang pernah memerintah India selama lebih 300 tahun (1520-1850).

Meskipun telah lebih daripada 10 kali 'jatuh dan bangkit' akibat peperangan, Delhi masih berdiri utuh dengan koleksi khazanah seperti kota kubu, masjid dan monumen yang ditinggalkan oleh pentadbir Mughal.

Delhi yang terletak di bahagian utara India kini dipisahkan kepada dua bahagian utama iaitu kota lama (Old Delhi) dan baru (New Delhi) yang menawarkan tarikan cukup berbaloi.



Red Fort

Di celah-celah kesibukan Old Delhi, berdiri teguh sebuah kubu yang dikenali dengan nama Red Fort. Monumen yang berwarna merah itu merupakan tarikan nombor satu bagi pelancong yang melawat Delhi.

Red Fort atau nama sebenarnya Lal Qil'ah adalah binaan kubu sepanjang dua kilometer yang pernah berfungsi sebagai tembok pertahanan terpenting penduduk kota Delhi daripada serangan sejak zaman-berzaman.

Pembinaannya bermula pada 1638 oleh memerintah Mughal kelima, Maharaja Shah Jahan (orang yang sama membina Taj Mahal) dan memakan masa selama 10 tahun untuk disiapkan.

Selain itu, bangunan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO itu juga adalah bekas kediaman keluarga di raja Mughal yang juga menjadi pusat pentadbiran Delhi sehingga 1857.

Kunjungan di kubu pertahanan yang pernah dibolosi tentera Sikh dan Inggeris itu boleh dilakukan melalui dua pilihan iaitu Gerbang Delhi atau Gerbang Lahori.

Kini, pentas yang pernah dijadikan tempat pertemuan mesra antara Maharaja dengan rakyat itu dimeriahkan dengan persembahan audio dan cahaya pada lewat petang setiap hari.

Pelawat yang ingin memasuki kawasan tumpuan pelancong itu dikenakan bayaran masuk kira-kira RM15 (dewasa) dan percuma untuk kanak-kanak bawah 15 tahun.



Masjid Jama

Tidak jauh dari Red Fort, tersergam indah sebuah masjid dari kurun ke-17 iaitu Masjid Jama yang dibina oleh pemerintah Mughal yang sama.

Laluan dari Red Fort menuju ke sini dipenuhi deretan kedai dan penjual kaki lima yang menjual pelbagai jenis pakaian dan perhiasan. Jika berminat untuk membeli, jangan lupa untuk menawar harga serendah mungkin.

Belum pun puas memerhatikan gelagat peniaga-peniaga di kaki lima, pandangan selepas itu akan teralih dengan kehebatan satu lagi bangunan yang dibina daripada batu pasir merah. Kehebatan binaan itu kekal sehingga hari ini sebagai masjid terbesar di India.

Dari jauh, keindahan Masjid Jama jelas kelihatan melalui binaan empat menara setinggi 40 meter dan tiga pintu gerbang utama yang tidak pernah lekang dikunjungi pelawat.

Berbeza dengan kebanyakan masjid, Masjid Jama mempunyai ruang solat terbuka yang luas dan boleh memuatkan ribuan jemaah pada satu-satu masa.

Pembinaan Masjid Jama yang memakan masa selama enam tahun dengan kerahan tenaga seramai 5,000 penduduk Islam disiapkan pada 1628.

Masjid yang menyaksikan jatuh bangun empayar Mughal itu dikatakan pernah dilelong sebelum dipulangkan semula oleh kerajaan kepada penduduk Islam dengan tukaran empat buah kampung.



Makam Humayun 

Menghayati keindahan seni bina Mughal boleh dikatakan tidak lengkap tanpa melihat Taj Mahal, namun bagi yang keberatan untuk meneruskan perjalanan sejauh 200 kilometer dari Delhi, Makam Humayun adalah tukaran yang berbaloi.

Makam Maharaja kedua yang terletak kira-kira lima kilometer dari Delhi iaitu merupakan antara seni bina yang mempunyai identiti Mughal terawal di India, jauh lebih awal daripada Taj Mahal di Agra.

Rentetan sejarahnya membawa pelawat menyelami kisah cinta seorang isteri iaitu Hamida Begum terhadap suaminya.

Makam menempatkan beberapa buah makam lain termasuklah makam Dara Sikoh, putera kepada Shah Jahan, sebuah taman bunga Parsi yang luas dan cukup terkenal ketika itu dipanggil Charbagh, saliran air bertentangan dengan pintu masuk serta balai peninjau menghadap Sungai Yamuna.

Keindahan seni bina menggunakan hiasan geometri ini dibina oleh arkitek Persia bernama Mirak Mirza yang dipengaruhi oleh seni bina Kota Samarkhand di Uzbekistan.



India Gate 

Old Delhi sebagai 'galeri di luar muzium' sememangnya padat dengan tarikan. Namun peluang berada di kota di pinggir Sungai Yamuna itu tidak mungkin berkisar di situ tanpa melawat ke New Delhi yang mempunyai cita rasa tarikan tersendiri.

Kesesakan meredah trafik di pusat bandar New Delhi disambut dengan gerbang setinggi 42 meter yang dibina sebagai penghormatan kepada 90,000 askar India-Inggeris yang terkorban di dalam Perang Dunia Pertama.


Kunjungan ke India Gate atau Gerbang India yang juga dikenali sebagai Amar Jawan Jyoti itu boleh disamakan seperti melawat Arc de Triomphe di Paris.



Kuil Bahai / Lotus Temple

Tarikan lain di New Delhi termasuk Kuil Bahai atau Lotus Temple iaitu seni bina moden berbentuk bunga teratai di tengah-tengah bandar baru.

Kunjungan ke ikon seni bina Delhi yang memiliki 27 kelopak mirip seperti Rumah Opera di Sydney dengan sembilan pintu masuk ke dewan berkubah pasti memukau.

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

New Delhi Kota Warisan Empayar Mughal Di India By Mohd Rohaizad. Published: 4.6.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...