CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Keluarga Datuk Yusof Haslam & Datin Fatimah Ismail


Keluarga Datuk Yusof Haslam & Datin Fatimah Ismail

Benarlah kata orang, tulang belakang kepada kejayaan seorang suami adalah berkat sokongan dan kasih sayang daripada seorang isteri.

Bukan juga satu tanggungjawab mudah untuk menjaga kerukunan rumah tangga sehingga perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu kekal untuk satu tempoh yang lama.

Sesungguhnya hidup ini seperti kaca. Jika masing-masing tidak bersabar, ia akan hancur berkecai ibarat gelas-gelas kaca yang jatuh terhempas ke bumi.

Datin Fatimah Ismail Bantu Suaminya Datuk Yusof Haslam

"Saya cukup bertuah kerana dapat memiliki seorang suami yang cukup penyabar. Saya juga tidak menafikan suami saya seorang yang panas baran dan garang orangnya.

"Cukup kenal dengan dirinya, dia seorang yang suka cakap lepas dan tidak hipokrit. Memang ada kala hati akan terguris dan terluka dengan kata-katanya itu.

"Tetapi, dia seorang yang pandai memujuk dan tidak terus meletakkan egonya di tangga teratas apabila dia sedar tindakannya itu telah membuatkan saya atau anak-anaknya terasa hati.

"Dia juga seorang yang cepat memaafkan orang walaupun ada segelintir mereka telah melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya kepada dia," ungkap Datin Fatimah Ismail sewaktu membicarakan tentang belahan jiwanya, Datuk Yusof Haslam.

Gambar Yusof Haslam dan Fatimah Ismail bersama dua Anak mereka Syamsul dan Syafiq
 Gambar Yusof Haslam dan Fatimah Ismail bersama dua Anak mereka, Syamsul dan Syafiq.

Cerita tentang kejayaan Yusof Haslam sebagai salah seorang tokoh perfileman paling berjaya memang sudah banyak diceritakan.

Sekadar memberikan kelainan, Hits membawa pembaca menyelami kolam hati seorang wanita yang telah menjadi pendokong utama kepada kerjaya seni Yusof Haslam hampir tiga dekad.

Tidak lokek untuk berkongsi cerita, daripada butir bicaranya sahaja, sudah dapat dirumuskan bahawa Fatimah Ismail, beliau cukup bertuah bersuamikan seorang figura unggul dunia perfileman tanah air.

Dalam sesi fotografi yang berlangsung di rumah agam mereka, Darul Haslam yang terletak di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini, banyak sungguh cerita yang dikongsi wanita ramah ini.

Malah, apabila direnung kembali masa silamnya sewaktu dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, dia tidak pernah menyangka kehidupan mereka sekeluarga akan mencapai taraf seperti hari ini.

Datuk Yusof Haslam Duda dan Datin Fatimah Ismail Janda Sebelum Nikah

Mungkin ramai yang tidak tahu, Yusof Haslam dan Fatimah Ismail masing-masing adalah duda dan janda sewaktu mereka bertemu.

Cuma, Fatimah sahaja yang memiliki seorang cahaya mata, Mohd. Faizal, 30 tahun, manakala Yusof Haslam tidak mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu.

"Keluarga saya sendiri bertanya kepada saya apakah saya membuat keputusan yang tepat apabila mahu berkahwin dengan Yusof Haslam.

"Apatah lagi dengan sumber kewangan suami saya ketika itu yang tidak menentu sebagai seorang pelakon, sudah pasti kebimbangan itu ada dalam diri ibu bapa saya.

"Tetapi, saya lebih percaya kepada rezeki Allah SWT dan segala ketentuan-Nya. Kehidupan awal kami juga bukanlah senang seperti yang mungkin ramai orang sangka.

"Baik saya mahupun Yusof, kami bersama-sama mencari rezeki dan perlahan-lahan membina hidup kami sendiri sehinggalah sampai ke satu tahap suami saya meminta agar saya berhenti kerja kerana dia sudah mampu untuk menyara kami anak-beranak," jelas Fatimah Ismail yang merupakan bekas kakitangan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) selama 14 tahun itu panjang lebar.

Hasil perkahwinan mereka pada 3 Mei 1982 telah dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata iaitu Mohd. Shamsul, 27 tahun, atau lebih dikenali sebagai Syamsul Yusof; Nurshamin Yusof, 23 tahun, dan Muhamad Syafiq Yusof, 19 tahun.

Menyambung bicara, Fatimah Ismail mengakui di awal perkahwinan dengan Yusof Haslam, dugaan dan cabaran yang perlu dilaluinya begitu banyak.

Apatah lagi, dia memiliki sifat cemburu dan cepat panas hati apabila melihat keakraban Yusof Haslam dengan artis-artis wanita sewaktu di lokasi penggambaran.

"Isteri mana yang tidak cemburu apabila melihat suami mereka bertepuk-tampar dengan wanita lain di depan mata. Sehinggakan kami pernah bertegang urat kerana perkara itu walaupun Yusof menjelaskan tiada apa yang berlaku.

"Namun, lama-kelamaan, saya boleh menerima tugasnya sebagai seorang pelakon. Sebagai isteri, saya harus menerima kelemahan serta kelebihannya. Begitu juga dengan dirinya.

"Kami cukup menitikberatkan soal itu dan saya percaya itulah punca kasih kami berpanjangan sehingga ke hari ini dan Insya-Allah, sehingga ke nafas terakhir kami," kata Fatimah Ismail dalam nada bersungguh-sungguh.

Rumahtangga Datuk Yusof Haslam Pernah Bergolak

Sudah menjadi asam garam dalam kehidupan suami isteri, pasti akan ada tercuit sana sini dan begitu juga dalam perhubungan Fatimah Ismail dan suaminya.

Mengakui hubungannya dengan Yusof Haslam pernah dilanda badai sehingga membangkitkan gelora amarah yang membawanya merantau jauh meninggalkan suami serta anak-anak.

Tidak mahu lagi mengungkit kisah silam itu, kata Fatimah, banyak pengalaman dan pengajaran yang diperolehinya daripada insiden tersebut.

"Saya melengkapkan diri saya dengan ilmu agama dan mempelajari banyak perkara untuk mengukuhkan lagi ikatan kebahagiaan kami," ucapnya penuh makna.

Sebagai penyokong dan pengkritik utama dalam hidup Yusof, wanita kelahiran Gelugor, Pulau Pinang itu memberitahu tuah dan rezeki Yusof Haslam dalam bidang perfileman tidak datang bergolek.

Semuanya bermula dengan perniagaan restoran yang telah diusahakan oleh arwah bapanya, Ismail Mustafa di mana kemudiannya menjadi Restoran Haslam yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Menyedari minat Yusof bukan dalam bidang perniagaan seperti itu, Fatimah memberitahu Yusof sendiri mencari peluang dan mahu meneroka bidang penerbitan drama.

"Apabila dia mendapat slot di RTM, bermulalah era baru Yusof Haslam apabila dia menerbitkan dan mengarahkan drama bersiri Remang-Remang Kota Raya di bawah Skop Productions.

"Sesungguhnya perkahwinan ini saya ibaratkan untung sabut timbul, untung batu tenggelam," ujar Fatimah Ismail sambil memandang suaminya yang sibuk melayan kerenah tiga cucu mereka. -Utusan Malaysia.

Tengok Video Datuk Yusof Haslam Ditemubual Mengenai Filem Terbitan Skop Production.




mohdrohaizad.com - Bahagia kan keluarga Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail? Keluarga pengarah berjaya Malaysia ini sentiasa menjadi idaman para artis yang ingin berjaya seperti mereka.

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Keluarga Datuk Yusof Haslam & Datin Fatimah Ismail By Mohd Rohaizad. Published: 3.9.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...