CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Raja Gelek - M. Daud Kilau Dengan Labuci


Raja Gelek - Datuk M. Daud Kilau Tidak Lengkap Dengan Labuci.

Penyanyi yang terkenal dengan gelaran Raja Gelek ini sentiasa memastikan pakaian yang dipakainya sewaktu menyanyi mampu menarik perhatian ramai.

M. Daud Kilau misalnya, akan muncul di atas pentas persembahan dengan pakaian berkelip-kelip dan berwarna-warni. Ia sesuai khususnya menerusi konsep lagu-lagu pop dan dangdut yang dibawakannya sejak lebih 30 tahun terbabit dalam bidang seni suara tanah air.

Menurut pemilik nama sebenar, (Gambar) Muhammad Daud Kilau ini, labuci dengan pelbagai bentuk dan warna adalah elemen penting dalam pakaiannya. Kata penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Cek Mek Molek ini, tanpa labuci pakaiannya seakan-akan menjadi kurang tarikan.

"Sejak dari dulu lagi, saya tidak boleh menyanyi di atas pentas tanpa mengenakan pakaian yang berlabuci berwarna-warni. Itu adalah imej dan identiti saya di atas pentas. Biasanya, dalam satu-satu persembahan saya membawa sehingga lima pasang pakaian pelbagai warna.

"Setiap satu lagu saya akan bertukar baju, bermakna kalau menyanyi lima lagu maka saya akan membawa lima pasang pakaian. Saya mahu persembahan saya kelihatan meriah dengan imej yang berwarna-warni dan penuh dengan kilauan cahaya," kata M. Daud Kilau kepada S3 ketika ditemui pada rakaman Konsert Emas terbitan Astro di Putrajaya, baru-baru ini.

Gambar M Daud Kilau Si Raja Gelek Malaysia
Gambar M Daud Kilau Si Raja Gelek Malaysia

Bagi menyediakan pelbagai jenis fesyen dan warna baju yang penuh dengan labuci, penyanyi yang berusia 73 tahun ini sanggup mengeluarkan belanja yang besar. Ia semata-mata bagi memastikan persembahannya bukan sahaja kelihatan berbeza tetapi juga menjadi tumpuan ramai.

Untuk itu, penyanyi berasal dari Kampung Sungai Ular, Bagan Datoh, Perak ini banyak menempah dan mereka sendiri pakaian untuk digunakan pada persembahan-persembahan pentasnya.

Sehingga kini M. Daud Kilau mempunyai koleksi tidak kurang 50 pasang pakaian berlabuci.

"Saya pernah mengeluarkan belanja sehingga RM1,000 untuk menempah dan menyiapkan sepasang pakaian yang khas digunakan pada persembahan saya.

"Pakaian itu termasuklah baju dan seluar yang dipenuhi dengan labuci pelbagai warna dan corak yang berbeza-beza.

"Bagi saya semua elemen itu amat penting sebagai daya penarik pada persembahan saya.

"Selain menyanyikan lagu-lagu yang sedap didengar dan diselang-selikan dengan gelek tarian saya, pakaian yang bercahaya kesan daripada labuci itu juga adalah suatu daya penarik," ujarnya.

Datuk M. Daud Kilau Berlakon Filem Man Laksa

Disebabkan imej dan identitinya itulah maka, bapa kepada dua anak dan sembilan cucu ini telah diundang melakonkan karakternya dalam filem Man Laksa arahan Mamat Khalid beberapa tahun lalu.

Dalam adegan itu, dia tampil dengan watak dirinya sendiri dengan pakaian penuh labuci.

Malah, lebih menggamatkan apabila watak M. Daud Kilau itu digambarkan terlalu hebat dan penuh glamor melalui satu adegan beliau sedang turun dari langit dengan berpakaian seperti jubah labuh.

Jelas sekali, watak itu membuktikan imej pakaian berlabuci cukup sinonim dengannya.

"Saya rasa sekarang ini cuma saya seorang sahaja penyanyi lelaki di negara ini yang akan tampil di atas pentas dengan pakaian penuh labuci.

"Walaupun saya tahu fesyen pakaian itu menjadi trend dalam dunia hiburan pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an tetapi ia masih relevan hingga kini.

"Sebagai penghibur saya mesti tampil berbeza dan lebih glamor barulah orang akan tengok persembahan saya.

"Contohnya, pada 19 November lalu saya mengadakan persembahan di Menara Condong, Teluk Intan, Perak dengan imej sebegini tetapi sambutannya hebat.

"Nampaknya para peminat masih boleh menerima gaya penampilan seperti ini. Malah, saya telah menampilkan imej sebegini sejak saya mula menjadi penyanyi selepas bergelar johan Bintang Radio tahun 1968.

"Imej dengan pakaian penuh labuci, saya tidak boleh buang," jelas M. Daud Kilau.

M. Daud Kilau Johan Pesta Dendang Rakyat 1985

Dia yang pernah meraih gelaran johan pada Pesta Dendang Rakyat 1985 (Nyanyian Asli) sehingga kini masih aktif menerima tawaran menyanyi di merata-rata tempat. Dengan kadar bayaran RM5,000 dan ke atas, ia adalah punca pendapatannya sejak 43 tahun lalu.

Bagaimanapun, Daud yang turut popular dengan lagu Hutang Minta Hutang, Gila Judi, Anak Derhaka dan Sireh Pinang tidak mahu mencampur adukkan bidang nyanyian dengan lakonan. Baginya, bakatnya lebih ke arah nyanyian dan bukannya seni lakonan.

"Saya berlakon dalam filem Man Laksa pun kerana wataknya yang tidak banyak dialog.

"Saya pun bukannya pandai berlakon. Sebab itu, saya tidak menonjol dalam bidang lakonan walaupun ramai pengarah menawarkan saya berlakon tetapi kebanyakannya saya tolak.

"Baru-baru ini contohnya, Astro telah menawarkan saya berlakon dalam drama bertajuk Kau Dan Aku dengan menawarkan bayaran RM7,500 tetapi selepas meneliti balik skrip dan dialognya, saya tolak tawaran itu. Saya tidak biasa berlakon dengan banyak dialog," kata M. Daud Kilau lagi. (Sumber: Utusan Malaysia)

Tengok Video Datuk M. Daud Kilau "Cek Mek Molek" Dalam Filem Man Laksa.


mohdrohaizad.com - Datuk M. Daud Kilau memang tidak lengkap dengan pakaian labucinya. Si Raja Gelek yang walaupun sudah vateran namun tetap mempunyai auranya yang tersendiri.

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Raja Gelek - M. Daud Kilau Dengan Labuci By Mohd Rohaizad. Published: 26.11.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...