CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Artis Belajar Kursus Pelagak Ngeri (Stunt Man) Di Australia


Artis Farid Kamil Belajar Kursus Pelagak Ngeri (Stunt Man) Di Australia.

Aktor ini bertutur bak peluru tatkala bercerita tentang momen yang ditempa di negara orang. Farid Kamil, bukan hanya aktor, tetapi sutradara muda ini membikin inisiatif sendiri untuk bergerak setapak lebih. Dia memilih berkelana hampir sebulan di Australia, lebih tepat lagi Australia Stunt Academy untuk menokok ilmu. Mendalami lagak ngeri yang selama ini dilakukan secara praktikal tanpa teori atau panduan yang tepat.

“Ingatkan dekat kampung saya sahaja ada Kuala Nerang. Di Australia tempat yang saya belajar itu pun namanya Southport Nerang Road, Nerang,” Farid menceriakan suasana sebelum menumpah ceritanya.

Farid Kamil Melawan Gayat Terjun Bangunan

“Minggu pertama saya disuruh terjun dari tingkat satu. Saya kalau bab laju, masih okey tapi bab ketinggian agak gayat. Di minggu akhir, saya sudah boleh terjun tingkat lima,” ujarnya tentang salah satu praktikal yang dipelajari.

Maka sembang selama dua jam berlangsung dengan perkataan lagak ngeri, terjun, lompat, mini tramp, trampoline, bertumbuk dan semua yang berkaitan dengan stunt. Bukan bertujuan untuk menjadi seorang pakar lagak ngeri tetapi untuk bekalan perjalanan diri Farid Kamil sebagai seorang pelakon dan pengarah.

“Semuanya bermula apabila saya terlibat dengan lagak ngeri terutama dalam filem Apokalips X arahan Mamat Khalid. Sebelum itu juga sewaktu saya mengarahkan Sam dalam filem Kongsi. Saya hanya boleh beri arahan tanpa tahu sesebuah lagak ngeri secara terperinci,” ujar Farid yang kemudian melayari Internet untuk mengetahui negara khusus menawarkan ilmu ini buat kegunaan dirinya.

“Paling penting saya tahu ciri-ciri keselamatan untuk lagak ngeri. Sebagai pengarah, semestinya perkara ini saya terokai,” tambah pengarah Kongsi itu.

Gambar Farid Kamil Belajar Kursus Lagak Ngeri Secara Profesional
Gambar Farid Kamil Belajar Kursus Lagak Ngeri Secara Profesional

Mengaku sedikit tertekan di rantau orang sejak 5 hingga 30 November lalu, sementelah buka sahaja mata, dia terus teringatkan sukatan pelajaran yang semuanya menjurus lagak-lagak ngeri ini.

“Kita kekurangan daripada segi keselamatan, itu sahaja kerana di sini faktor itu kurang dititikberatkan. Kita tidak ada pakar untuk menjaga elemen keselamatan. Pelakon lagak ngeri di negara luar dianggap sebagai bintang tetapi di negara kita mereka hanya berstatus pelakon tambahan.

“Saya berkongsi cerita yang kita (Malaysia) masih menggunakan kotak untuk sebuah terjunan, para pengajar saya hairan. Di sana mereka tidak pernah guna kotak sebaliknya kusyen udara,” sambungnya yang menolak jika kekangan kos adalah penyebab suasana ini berlaku.

Antologi lagak ngeri yang dilaluinya dikumpul dan bangun setiap pagi, himpunan ilmu inilah yang memberinya impian untuk kelak membikin sebuah filem yang dicurahkan semaksimum mungkin. Terdahulu secara sembang kopi, Farid berkongsi dengan Bront Palarae tentang momen lagak dan ngerinya.

Farid Kamil Tunggang Kuda Jadi Terapi

“Pada 27 November lalu saya menjadi graduan akademi itu. Kami diberi sehelai baju untuk disarung sebagai bukti graduasi. Acaranya menarik, seakan-akan program Survivor,” tumpah cerita Farid yang mendapat pujian daripada sudut merendah diri dan aksi bertumbuknya daripada tenaga pengajar. Mengangkat nama tempat lahir, terang Farid, orang Malaysia memang dianugerahkan dengan sikap merendah diri.

“Paling seronok bila buat aksi ngeri dengan motosikal. Orang sana siap pakai baju seperti profesional dan saya cuma berseluar jean dan kemeja-T. Tengok-tengok rupanya skil mereka biasa-biasa sahaja,” gelaknya yang pernah membintangi filem Remp-It yang mengumpul kutipan box-office RM4.1 juta.

Sempat berlakon dua buah filem pendek dan menjadi pameran utama dengan watak puntianak untuk sukatan pelajaran akademi, dia menambah bicara.

“Babak gaduh yang ada seni pertahanan diri sama sahaja. Perbezaan terletak pada sudut letak kamera dan ruang praktis. Kekurangan kita adalah daripada sudut latihan. Kalau negara luar mereka ambil masa sebulan untuk praktis dan hasilnya cantik. Di sini, sistem semua mahu cepat dan saya tidak akan benarkan hal ini terjadi dalam filem saya,” jujurnya yang akan mengarah dan berlakon dalam filem Ops Sidas yang memaparkan jalan cerita polis dan penjenayah.

Gambar Farid Kamil Belajar di Australia Stunt Academy
Gambar Farid Kamil Belajar di Australia Stunt Academy

Masih larut dalam emosi galak bercerita, bab kedua menambah rancak sembang Farid.

Jatuh cinta dengan haiwan yang melambangkan maskulin dan kemewahan itu sejak darjah empat, kini setelah selesa duduk sebagai anak seni, dia sudah memiliki dua ekor kuda.

“Malangnya Indra Putra telah mati dan kini hanya ada Tic Tac Toe yang ada kandang sendiri di Ampang. Dulu saya hanya memerhatikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah bermain polo sewaktu saya tinggal di Pekan, Pahang. Itu yang mencambah minat saya terhadap kuda dan sukan polo,” cerita Farid yang berjinak-jinak dengan sukan polo sejak setahun yang lalu.

Farid Kamil Mahu Bentuk Watak Sempurna

Sedang menjalani proses dubbing untuk filem Lagenda Budak Setan 2, aktor ini juga akan masuk dalam proses pos produksi filem Petiga yang akan ditayangkan pada tahun hadapan. Bercerita tentang lakonan dan industri yang telah didiami selama 10 tahun, Farid mengaku meletakkan filem Anak Halal lakonannya sebagai sebuah tanda aras dalam skil pentas lakon layarnya.

Gambar Farid Kamil Belajar Stunt Man Secara Profesional
Gambar Farid Kamil Belajar Stunt Man Secara Profesional

“Sekarang, saya mencari kesempurnaan watak daripada segi pemahaman saya. Bukan hanya berlakon sebaliknya melakukan pendekatan dan motivasi seorang pelakon,” luahnya yang merasakan peningkatan lakonan pula melalui filem Apokalips X.

“Sejak 10 tahun lalu, industri filem Malaysia menunjukkan peningkatan drastik. Daripada struktur naratif semakin kukuh, begitu juga pembikinan dan teknikal serta skil juga semakin bagus. Kehadiran saya dalam industri ini hanya untuk mencantikkan suasana,” senyumnya.

Bukan sekadar memuji, tetapi melihat inisiatif yang dilakukan penggerak seni semuda Farid, usaha ini wajar diberi perhatian. Dalam buluh darah dan minda Farid tidak hanya ada semangat sebaliknya dibekalkan dengan ilmu dan pengalaman yang setepatnya. Setidak-tidaknya, sutradara muda ini bakal bergerak dengan bekalan dan asas ilmu sebagai senjata terkuatnya dan bukan hanya keberuntungan atau peluang yang mungkin sebuah peluru untuk segelintir pembikin seni lain. (Sumber: Kosmo!)


Tengok Video Farid Kamil Aksi Rempit Dengan Yamaha 125z.


mohdrohaizad.com - Selepas pasti Farid Kamil akan membuat filem yang lebih aksi yang best. Faktor keselamatan sentiasa kurang dititikberat di Malaysia sebab tu Farid Kamil ambil inisiatif untuk belajar sebab sebagai pengarah perlu juga tahu kan?

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Artis Belajar Kursus Pelagak Ngeri (Stunt Man) Di Australia By Mohd Rohaizad. Published: 11.12.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...