CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Filem KL Gangster 2 Box-Office Di Pawagam


Filem KL Gangster 2 Bakal Box-Office Di Pawagam?

KL Gangster bukan sahaja filem terbitan Skop Production yang paling berjaya daripada segi kutipan tiketnya yang mencecah RM11.7 juta sewaktu ditayangkan di lebih 60 pawagam di seluruh negara, baru-baru ini.

Malah, ia mencatat rekod sebagai filem Melayu yang paling banyak meraih anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM), 20 November lalu termasuklah Anugerah Box-Office.

Ekoran kejayaan itu, penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam berkata, beliau tidak teragak-agak untuk meneruskan kesinambungannya dengan menerbitkan KL Gangster 2 selain menambah kos dalam penerbitan filem tersebut.

Gambar Para Pelakon KL Gangster 2 Semasa Majlis Pelancaran
Gambar Para Pelakon KL Gangster 2 Semasa Majlis Pelancaran

"Kos KL Gangster 2 dijangka mencecah RM3 juta di mana ia adalah filem termahal Skop setakat ini. Kalau dulu KL Gangster pun kosnya sekitar RM2 juta sahaja. Saya berani menambah kos untuk filem ini kerana sambutan terhadap KL Gangster," katanya.

Yusof Haslam melahirkan keyakinannya itu pada majlis pelancaran KL Gangster 2 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini, selain mengumumkan barisan pelakon yang akan membintangi filem tersebut.

Syamsul Yusof Mampu Jadi Pengarah Terbaik

Jelasnya, beliau membuat keputusan itu selepas Syamsul Yusof yang juga merupakan anaknya membuktikan bukan sahaja mampu mengarah dengan baik tetapi juga mengutip kutipan yang boleh dikatakan cemerlang setakat ini.

"Pernah suatu ketika seorang orang kenamaan (VIP) yang berkata kepada saya bahawa Syamsul tidak layak menang anugerah Pengarah Terbaik untuk filem Evolusi KL Drift 2 pada FFM23, tahun lalu tetapi ia berlaku sebaliknya.

"Malah, tahun ini Syamsul sekali lagi memenangi kategori Pengarah Terbaik melalui KL Gangster. Dia (Syamsul) telah membuktikan kejayaannya bukan sekali tetapi dua kali berturut-turut. Saya sendiri kagum dengan kejayaannya itu.

"Saya telah mengarah filem lebih 20 tahun tetapi sampai sekarang saya masih kempunan untuk meraih anugerah yang dimenangi oleh anak saya itu. Sebab itu, saya yakin Syamsul boleh berjaya dalam bidang ini," ungkapnya.

Sementara itu, Syamsul Yusof ketika ditemui berkata, dia tetap akan bertindak sebagai pengarah untuk filem KL Gangster 2.

Katanya, KL Gangster 2 yang berbentuk prekuel turut mengekalkan ramai pelakon KL Gangster, antaranya Aaron Aziz, Soffi Jikan, Adiputra, Zizan (Raja Lawak) dan Sheera Iskandar.

Adegan Samseng Dalam KL Gangster 2

Jelas Syamsul Yusof yang menulis sendiri skrip filem tersebut dengan bantuan Rizal Ashreff, KL Gangster 2 dijangka memberi cabaran lebih besar daripada segi jalan cerita dan watak-watak yang ditampilkan selain adegan-adegan lasak yang bakal ditampilkan nanti.

"Antara mesej daripada jalan cerita yang ingin saya ketengahkan ialah bagaimana mahu membuka hati para penonton muda supaya tidak terjerumus dalam gejala sosial. Saya cuba tekankan nilai persahabatan dalam filem ini.

"Paling mencabar kerana saya mahu membawa jalan cerita ini lima tahun ke belakang daripada apa yang dipaparkan dalam KL Gangster supaya ia menjadi sebuah filem prekuel yang mampu menarik perhatian ramai," ujarnya.

Rosyam Nor Dalam KL Gangster 2

Selain skrip, jalan cerita dan mengembangkan lagi watak-watak sedia ada, pengarah muda ini tidak ketinggalan mengundang Rosyam Nor berlakon dalam filem ini.

Kemunculan Rosyam yang akan melakonkan watak ketua penjahat bernama Don dalam filem yang telah menjalani penggambarannya di sekitar Lembah Klang sejak 1 Disember lalu itu, dijangka menjadikan KL Gangster 2 lebih menarik untuk ditonton.

"Sebenarnya saya pernah mengundang Rosyam berlakon dalam KL Gangster tetapi ketika itu dia sibuk dengan komitmen lain. Saya memang mahukan dia berlakon dalam filem kali ini kerana watak itu amat sesuai dengannya," kata Syamsul bersungguh.

Sinopsis KL Gangster 2

Filem ke-29 terbitan Skop Production dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd., itu antara lain mengisahkan tentang Malek dan Jai yang terjebak dalam dunia samseng setelah kematian ayah mereka 10 tahun lalu.

Sejak kematian ayah mereka, kehidupan dua beradik itu serba kekurangan di mana pada masa yang sama, ibu mereka juga sering ketakutan gara-gara ugutan daripada kumpulan gangster yang menagih hutang lapuk keluarga terbabit. (Sumber: Utusan Malaysia)


Tengok Video Filem KL Gangster 2 - The Making Trailer.




mohdrohaizad.com - Mampukah Filem KL Gangster 2 menjadi Box-Office di pawagam Malaysia seperti filem pertamannya? Jangan lupa saksikan Filem KL Gangster 2 dipawagam terdekat anda nanti.

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Filem KL Gangster 2 Box-Office Di Pawagam By Mohd Rohaizad. Published: 12.12.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...