CARI BIODATA PROFILE, CERITA ARTIS

Filem Songlap (Sara Ali & Shaheizy Sam)


Filem Songlap Lakonan Sara Ali & Shaheizy Sam.

Shaheizy Sam dan Sara Ali merupakan dua pelakon generasi baru yang sedang mengembangkan bakat mereka dalam bidang lakonan tanah air. Biarpun tidak sampai lima tahun terbabit sebagai pelakon, dua pelakon itu semakin mendapat kepercayaan ramai penerbit mahupun pengarah filem.

Sam misalnya, bukan sahaja tidak menang tangan berlakon dalam filem-filem terbitan MIG Production tetapi dia juga diberi peluang berlakon dalam banyak produksi-produksi lain seperti Skop Production menerusi filem SAM yang tamat penggambarannya baru-baru ini.

Sementara Sara juga semakin laris sebagai salah seorang pelakon wanita pelapis dalam industri perfileman tempatan. Setakat ini dia telah berlakon dalam tujuh filem. Yang terbaru berjudul Songlap yang dilakonkannya bersama Sam dan akan ditayangkan pada Disember ini.

Dua pelakon itu bukan sahaja semakin mendapat perhatian ramai penerbit, pengarah dan juga para peminat masing-masing, tetapi pada masa sama harus membuktikan gandingan mereka dalam Songlap mampu menarik perhatian semua pihak terbabit.

Justeru, apabila julung kalinya digandingkan dalam Songlap, Sam dan Sara tidak menafikan melalui pelbagai cabaran dalam usaha untuk menghidupkan watak lakonan mereka dalam filem itu. Pada sesi fotografi dengan Hits baru-baru ini mereka sedikit sebanyak berkongsi pengalaman tersebut.

Gambar Sara Ali dan Shaheizy Sam dalam Filem Songlap
Gambar Sara Ali dan Shaheizy Sam dalam Filem Songlap

Shaheizy Sam dikenali ramai kerana filem-filem genre komedi yang dilakonkannya seperti Adnan Sempit mengaut kutipan tiket lebih RM7 juta sewaktu ia ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara dua tahun yang lalu.

Malah, watak Tumulak yang dilakonkannya dalam filem separuh komedi Kongsi terbitan MIG Production juga membolehkan Sam merangkul anugerah kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-24 pada 20 November lalu.

Namun, menerusi filem terbaru lakonannya berjudul Songlap yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 15 Disember ini, watak Am yang dilakonkannya sedikit berbeza dengan genre Kongsi dan Adnan Sempit.

Menurut Sam, filem arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak itu bukan dalam genre komedi tetapi lebih ke arah drama yang memaparkan realiti kehidupan yang banyak berlaku dalam masyarakat masa kini.

Justeru, menurut artis residen MIG Talent ini, dia dapat merasakan beban yang berat dalam melakonkan watak Am yang lebih serius perwatakannya di mana ia berbeza dengan watak-watak lakonannya sebelum ini.

“Sebelum ini, kebanyakan filem komedi lakonan saya mendapat sambutan para penonton. Tetapi filem ini genrenya lebih kepada drama yang memaparkan realiti dalam kehidupan hari ini.

“Secara peribadi, saya sukakan watak Am yang kelihatan serius. Kebanyakan adegan yang dipaparkan berunsurkan realiti semasa di mana elemen-elemen drama yang agak serius banyak melatari filem ini.

“Sebab itu, saya serahkan kepada para penonton untuk menghayati filem ini. Saya harap para peminat menerima watak-watak lakonan saya sama ada dalam genre komedi atau drama,” katanya kepada Hits baru-baru ini.

Jelas Sam, selain perlu menghayati watak Am, dia juga terpaksa bertungkus-lumus melakonkan sendiri pelbagai adegan lagak ngeri dalam filem dengan durasi kira-kira 100 minit bagi menghidupkan lagi watak itu.

Katanya, biarpun berdepan dengan pelbagai cabaran dan risiko tetapi kepuasan melakonkan sendiri kesemua adegan lagak ngeri membabitkan watak Am bukan sahaja memberi kepuasan tetapi juga pengalaman baru buatnya.

“Contohnya, ada adegan kereta sedang kejar mengejar di mana saya melakonkan sendiri dengan memandu kereta tersebut. Begitu juga dengan adegan pertarungan, saya melakonkan sendiri tanpa membabitkan pelakon lain.

“Malah filem ini juga berbeza dengan filem-filem MIG Production yang saya lakonkan yang mana kebanyakannya menampilkan elemen-elemen komedi komersial yang ringan. Ia berbeza dengan Songlap yang lebih ke arah drama berat,” ujarnya.

Shaheizy Sam Bingung

Songlap yang diterbitkan syarikat produksi Red Films Sdn. Bhd., secara tidak langsung menjadikan Sam berada dalam dua persimpangan sama ada lebih menumpukan kepada genre komedi atau mencuba genre lain.
Anak kepada pelakon Khaty Fauziah ini berkata, demi mengembangkan lagi kerjayanya dalam bidang lakonan, dia harus berani mencuba melakonkan pelbagai watak dalam filem dan bukan kepada filem komedi semata-mata.

“Para peminat sudah biasa menonton filem-filem komedi lakonan saya yang diterbitkan oleh MIG Production seperti filem Bini-Biniku Gangster. aya perlu keluar daripada kepompong itu demi kesinambungan kerjaya saya sebagai pelakon.

“Selama ini, saya banyak mengikut kehendak para penonton tetapi untuk filem Songlap saya cuba lari sedikit dengan mencuba watak yang belum pernah saya lakonkan. Pada masa sama saya akan mengambil kira pandangan ramai,” jelasnya.

Sungguhpun masih terikat kontrak di bawah naungan MIG Talents milik penerbit, David Teo tetapi Sam masih diberi kebebasan untuk berlakon bersama syarikat-syarikat produksi yang lain demi kerjayanya sebagai pelakon.

Shaheizy Sam Tambah Pengalaman

Menerusi kebebasan itu kata Sam, dia bukan sahaja dapat menambahkan lagi pengalaman berlakon dalam syarikat-syarikat produksi yang berbeza-beza tetapi ia juga mampu menambahkan lagi sumber pendapatannya.

“Kontrak saya dengan MIG Talents sudahpun berjalan selama dua tahun dan ia berbaki lagi tiga tahun. Tempoh itu agak lama di mana kalau saya berlakon di bawah satu syarikat produksi sahaja saya bimbang bakat saya akan beku.

“Saya sengaja memilih MIG Talents kerana mereka mempunyai kakitangan yang menguruskan segala aktiviti saya seperti promosi, fotografi bersama media-media massa dan juga merancang jadual penggambaran saya,” katanya.

Tambah Sam, dengan adanya syarikat yang menguruskan kerjayanya itu, dia yakin mampu menangani cabarannya termasuklah bagi memberi tumpuan sewaktu promosi Songlap yang kini sedang giat dijalankan.

Ini kerana, katanya filem yang menjalani penggambarannya pada Oktober tahun lalu di sekitar Lembah Klang selama sebulan itu memerlukan promosi yang jitu bagi memberi keyakinan menontonnya kelak.

“Saya sudah cuba sedaya upaya melakonkan watak Am dengan bakat yang saya ada. Bagaimanapun itu sahaja belum mencukupi kerana saya juga harus turun padang mempromosikan filem ini.

“Saya mahu menyakinkan para penonton bahawa biasanya watak, genre dan jalan cerita yang saya lakonkan dalam setiap filem berbeza. Selepas itu, cabarannya adakah saya mampu menarik penonton menonton filem ini,” tuturnya lagi.

Sara Ali Kurang Dialog

Jika Sam berdebar-debar menantikan reaksi para penonton menerusi Songlap yang disifatkannya lebih kepada genre drama, Sara Ali pula berdepan dengan cabaran melakonkan watak Hawa yang tidak banyak dialog dalam filem tersebut.

Kata Sara, sepanjang berlakon dalam tujuh buah filem, dia menyifatkan watak Hawa dalam filem yang menampilkan ramai pelakon hebat seperti Omar Abdullah dan Normah Damanhuri itu sebagai paling mencabar.

“Bayangkan dalam filem Songlap, 99 peratus watak Hawa tanpa dialog. Saya banyak menggunakan ekspresi muka dan gerak badan bagi melakonkan kesemua adegan dalam filem kelima lakonan saya itu.

“Watak Hawa amat berat untuk dilakonkan oleh pelakon baru seperti saya. Ini kerana, untuk menuturkan dialog lebih mudah daripada berlakon menggunakan gerak badan kerana ia memerlukan emosi yang tinggi,” ungkapnya.

Gambar Sara Ali Seksi Hot Artis Pelapis Malaysia
Gambar Sara Ali Seksi Hot Artis Pelapis Malaysia

Disebabkan cabaran melakonkan watak Hawa itu, Sara Ali seperti berasa takut untuk melihat gaya lakonannya sama ada ia mampu meninggalkan kesan di hati para penonton ataupun tidak.

Biarpun berpeluang melihat lakonannya itu sewaktu proses suntingan filem dilakukan tetapi pelakon baru ini mengelak daripada menontonnya sehinggalah ia ditayangkan di pawagam-pawagam kelak.

“Saya tertarik dengan jalan cerita Songlap dan skripnya yang menarik. Bagaimanapun selepas tamat penggambaran, saya seakan-akan takut untuk menontonnya kerana watak itu yang paling mencabar penghayatan saya.

“Sebab itu, buat masa ini biarlah saya sabar menantikan debaran untuk melihat sendiri lakonan saya bersama-sama pihak media massa dan peminat sewaktu majlis pratonton yang akan diadakan nanti,” katanya.
Selain Songlap, Sara juga sempat membintangi enam lagi filem berjudul Sesuatu Yang Tertinggal, Jangan Pandang-Pandang, Azazil, Penunggu, Nur Kasih dan Klip 3GP yang telah pun ditayangkan di pawagam seluruh negara baru-baru ini.

Sara Ali dalam Drama Televisyen

Sungguhpun lebih menonjol menerusi dunia perfileman, namun pada masa sama dia juga tidak melepaskan peluang berlakon dalam drama-drama televisyen yang disifatkannya tidak kurang cabarannya.

“Watak Hawa adalah watak paling mencabar buat saya setakat ini tetapi ini kali kedua saya diberi kepercayaan melakonkan watak utama selepas filem berjudul Sesuatu Yang Tertinggal. Bagi saya filem dan drama tidak jauh beza.

“Misalnya kalau melakonkan 16 adegan dalam drama ia mungkin menyamai dengan tiga adegan dalam penggambaran sebuah filem. Ini kerana, durasi penggambaran dan skala serta set antara filem dan drama tidak sama saiznya.

“Malah, adakalanya penggambaran boleh mencecah sehingga tiga bulan lamanya. Namun, itu tidak menghalang saya untuk menceburi dua medium itu secara serentak kerana masing-masing ada kelebihan sendiri,” katanya. (Sumber: Utusan Malaysia)

Tengok Video Filem "Songlap" Di Youtube.


mohdrohaizad.com - Jangan lupakan saksikan filem "Songlap" lakonan Sara Ali dan Shaheizy Sam di pawagam 15 disember ini.

Jika Anda Suka Dengan Artikel Ini, Mohon Share Di Laman Sosial dan Blog Dengan Klik Button Di Bawah. Jika Berminat Untuk Link Dengan Blog Hiburan Ini, Sila Komen dan Letak Link Web Blog Anda. Nanti Penulis Cuba Blogwalking. Terima Kasih.

Filem Songlap (Sara Ali & Shaheizy Sam) By Mohd Rohaizad. Published: 1.12.11
Rating5.0 ★★★★★ © 6889 reviews. based on Microformats review aggregate



Terima kasih atas kunjungan Anda



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...