Banjir Di Perlis 30 Mac 2011 Bertambah Buruk (Sekolah Dijangka Tutup Sehingga Banjir Surut)

 Keadaan Banjir Perlis Didepan Sekolah Menengah Teknik, Kangar

Keadaan banjir di Perlis bertambah buruk dengan 1,294 mangsa daripada 349 keluarga dipindahkan ke 19 pusat pemindahan sehingga 2 petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata, kawasan paling teruk terjejas ialah Kangar dengan 870 mangsa daripada 239 keluarga yang telah dipindahkan. 

Seramai 380 mangsa daripada 99 keluarga adalah dari kawasan Padang Besar dan 44 mangsa daripada sebelas keluarga dari kawasan Arau. 

Jumlah itu meningkat jauh lebih tinggi berbanding sebanyak 416 mangsa daripada 120 keluarga yang dipindahkan pada pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Azizan Hamid, bersama Ketua Polis Perlis, Datuk Tajuddin Md Isa, turut meninjau pusat pemindahan banjir hari ini.

Banjir melanda Perlis sejak semalam berikutan hujan lebat berterusan bermula kelmarin hingga hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut mengadakan bilik gerakan dengan menyediakan perkhidmatan membantu mangsa banjir menggunakan bot dan lori.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 16 sekolah yang terbabit dengan banjir ditutup hari ini dan pelajar diarah pulang pada 10 pagi bagi memastikan keselamatan mereka. 

Sumber rujukan:
- BERNAMA

Ulasan