Kes Pondok Polis & Pusat JKKK Dibakar Di Taman Merak

 
Berkenaan dengan kes pondok polis dan pusat operasi JKKK terbakar, pihak polis telah menahan 13 lelaki bagi membantu siasatan terhadap kejadian kebakaran pondok polis dan pusat operasi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Taman Merak, Pulau Pinang di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka yang ditahan di sekitar Taman Merak itu berusia lingkungan 18 hingga 32 tahun dalam satu operasi besar-besaran mengesan suspek.

Katanya, pada kejadian kebakaran pukul 11.10 malam tadi itu, pondok polis yang terletak dalam pusat operasi JKKK itu turut terbakar.

Beliau berkata, perbuatan khianat membakar pusat operasi JKKK itu dipercayai berpunca dari kes membalas dendam terhadap seorang lelaki yang parah kerana diserang oleh anak salah seorang anggota JKKK di kawasan itu minggu lepas.

"Akibat tidak puas hati ekoran insiden serangan tempoh hari, sekumpulan lelaki dipercayai anggota keluarga dan rakan mangsa itu bertindak membakar pusat operasi termasuk pondok polis yang berada dalam pusat itu," katanya kepada pemberita di Nibong Tebal hari ini.

Mereka yang terbabit kini ditahan reman di Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan dan polis sedang mengesan dua lagi suspek yang dikenali sebagai Tan Choon Wei atau dikenali Ah Wei, 26, dan M.Jeganathan, 30, bagi membantu siasatan.

Tan mempunyai alamat terakhir di No 2, Lorong 44, Taman Merak, Simpang Ampat dekat sini manakala Jeganathan di No 36, Lorong 33 di taman perumahan yang sama.

"Kita memberi amaran kepada pihak yang terlibat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang dan serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan," katanya.

Abdul Rahim berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mengakibatkan cedera parah dan mengikut Seksyen 436 Kanun keseksaan kerana khianat dengan api jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda. (Bernama)

Ulasan