Di
Barat, terdapat ramai individu terkenal menganut Islam dan terus menjadi ikon
pujaan ramai. Siapa tidak kenal nama-nama seperti Muhammad Ali, Yusuf Islam dan
Freddie Kanoute yang menjadi inspirasi kepada umat Islam di sana. Tetapi ada
satu nama yang bikin ramai melopong apabila mengumumkan pengislamannya pada
tahun lepas. Orang yang dimaksudkan ialah penyanyi Ireland terkenal, Sinead
O’Connor.
Penyanyi yang terkenal dengan album The Lion and the Cobra dan
I Do Not Want What I Haven’t Got mengumumkan berita tersebut melalui
satu twit kepada para peminat pada Oktober tahun lepas. Seminggu
sebelumnya, O’Connor yang kini dikenali dengan nama barunya Shuhada
Davitt/Shuhada Sadaqat mengumumkan telah meninggalkan agama Kristian.
Ini disusuli dengan pengumumannya memeluk Islam dan nama barunya itu.
Dalam
twitnya, Shuhada menulis, “Ini ialah satu pengumuman bahawa saya bangga
menjadi seorang Muslim. Inilah pengakhiran semulajadi untuk perjalanan
pencarian seorang ahli teologi. Semua kajian agama yang dibuat menjurus
kepada Islam. Saya akan diberi nama baru. Nama baru saya ialah Shuhada.”
Pengislaman Shuhada dibuat dengan kehadiran ahli teologi Islam
dan Pengerusi Majlis Integrasi dan Keamanan Islam Ireland, Sheikh Dr
Umar al-Qadri. Selepas beliau mengucap dua kalimah syahadah, Sheikh Umar
memuatnaik satu video di Twitter dan menulis, “Penyanyi terkenal dunia
Shuhada Davitt @MagdaDavitt77 (#SineadOConnor) telah mengucap dua
kalimah syahadah bersama saya di #Ireland. Beliau merasa amat gembira!
Masha Allah.”
Shuhada kemudiannya membalas, “Saya asyik tersalah
menyebut kalimah-kalimah Arab!! Saya mohon maaf!! Saya akan menyebut
dengan betul pada akhirnya. Insya Allah.” Shuhada menyertai senarai
artis dan pemuzik yang melafazkan kalimah keramat dua kalimah syahadah
seperti Yusuf Islam, Mos Def dan Ice Cube.
Tak
lama selepas itu, Shuhada turut memuatnaik beberapa videonya melaungkan azan.
Dalam video itu, beliau menambah, “Ini merupakan cubaan pertama saya melaungkan
azan. Sesetengah sebutan saya salah kerana emosi membuatkan saya tersasul
(berkemungkinan beliau merasa terharu) tetapi akan ada lebih banyak cubaan lain
pada masa akan datang.” Beliau menambah lagi, “Mohon maaf atas kesilapan saya
dalam azan yang dilaungkan… cubaan pertama. Bila saya mempraktikkannya
sebanyak 30 kali, saya akan membuat dunia berhenti berpusing.”
Selain
berkongsi pengalaman pengislamannya, Shuhada turut berkongsikan petikan ayat
suci al-Quran dan kata-kata positif sejak memeluk Islam. Satu twitnya
memetik ayat 23, Surah al-Baqarah mafhumnya, “Dan kalau kamu ada menaruh syak
tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka
cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu,
dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari
Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”
Dalam
satu twit yang lain, Shuhada turut berkongsi pengalaman mengenakan hijab buat
kali pertama. Beliau menceritakan hijab pertamanya itu dihadiahkan oleh rakan
baiknya bernama Elaine. Sebaik Shuhada mengenakan hijab buat kali pertama, ia
merupakan satu pengalaman yang mencetuskan emosi dan peribadi. Tetapi itu juga
membuatkan dirinya merasa gembira. Beliau kemudian memuatnaik gambarnya memakai
hijab tradisional berwarna hijau dan meletakkan kapsyen ‘Gembira’.
Semasa
ditemubual oleh stesen televisyen RTE pada September tahun ini dalam rancangan
The Late Late Show, Shuhada menerangkan perjalanannya menemui Islam, “Idea
kembali semula (revert) merujuk kepada idea yang dikaji dalam al-Quran, anda
akan sedar bahawa anda sebenarnya sudah menjadi Muslim sepanjang hidup anda dan
anda tidak sedar pun. Itulah yang berlaku kepada saya. Saya 52, saya membesar
di Ireland yang berbeza dengan Ireland yang wujud hari ini. Ianya sebuah negara
yang menekan dari segi agama. Semua orang merasa sedih, tiada siapa yang
mendapat kegembiraan dengan Tuhan.”
Dalam
temubualnya bersama hos Ryan Tubridy, Shuhada menambah, “Saya memilih Islam
sebagai yang terakhir dalam kajian saya kerana saya terlalu prejudis dengan
Islam. Ia merupakan cara pemikiran. Anda akan hampir menjadi seorang Muslim
tanpa perlu menjadi Muslim sebenar. Seorang Muslim ialah seseorang yang percaya
bahawa tiada apa dalam dunia ini yang selayaknya disembah melainkan Allah
s.w.t.”
Dalam satu temubual lain dalam Good Morning Britain bersama hos
Piers Morgan dan Susanna Reid, Shuhada turut menceritakan reaksi orang
terhadap pengislamannya. Reaksi Muslim terhadap pengislamannya
rata-ratanya positif dan beliau turut menggambarkan komuniti Muslim
sebagai lembut dan penyayang.
Tetapi Shuhada turut mendedahkan
sikap prejudis yang diterimanya sebagai reaksi pada pengislamannya.
Walaupun mengakui pada awalnya beliau merasa marah dengan sikap mereka
ini tetapi lama-kelamaan itu tidak langsung mematahkan rasa bangganya
bergelar seorang Muslim. Ini turut ditambah dengan pengalamannya
menempuh pelbagai kontroversi semasa bergelar artis sekaligus
menjadikannya lebih matang dan tabah walaupun dikecam sesetengah
individu.
SUMBER
1.
Kelly, Emma. (2019). Sinead O’Connor ‘had so much prejudice about Islam’ before
she became a Muslim. Metro. https://metro.co.uk/2019/09/07/sinead-oconnor-much-prejudice-islam-became-muslim-10702376/
2.
I Am Birmingham. (2018). Singer Sinead O’Connor converts to Islam and changes
her name. https://www.iambirmingham.co.uk/2018/10/25/singer-sinead-oconnor-converts-islam-changes-name/
3.
Finn, Rachel. (2019). SinĂ©ad O’Connor: ‘I’ve been Muslim my whole life and
didn’t even know it’. Metro. https://metro.co.uk/2019/09/16/sinead-oconnor-ive-muslim-whole-life-didnt-even-know-10752248/
Kredit: The Patriot